Rabu, 18 Disember 2013

KEKANGAN PERLAKSANAAN UNDANG-UNDANG SYARIAH - HUKUM HUDUD DI MALAYSIA

ISU hukum hudud bukanlah perkara baru. Ia sudah mendapat liputan meluas di negara ini. Pelbagai reaksi dan pandangan telah diberikan pelbagai pihak mengenainya sehingga mengundang pelbagai kontroversi. Meskipun begitu, bagaimana dan bila hudud mampu dikuatkuasakan di Negara ini masih terus menjadi teka-teki pelbagai pihak. Hukum hudud ertinya hukuman yang telah ditetapkan ALLAH dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah, menokok atau mengurangkannya. Hukum hudud terdiri daripada pelbagai jenis kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan  mempunyai enam atau tujuh kesalahan. Antaranya zina, qazaf, minum arak, merompak, murtad dan membunuh. Kesalahan-kesalah yang disebutkan itu bukan sahaja telah termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan ALLAH. Sebagai contoh, sesiapa yang mencuri, baik lelaki atau perempuan, hukumnya ialah potong tangan.

Berbalik pada sejarah, pada tahun 1511, Kesultanan Melayu Melaka difahamkan sudah pun melaksanakan hukum hudud. Bagaimanapun, kedatangan British pada 1874 menyebabkan hukum itu terhakis. Memburukkan lagi keadaan, fungsi mahkamah syariah sudah dikecilkan sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Mahkamah syariah pada waktu itu diletakkan di bawah mahkamah sivil dan sebarang keputusan mahkamah syariah boleh dipinda oleh mahkamah sivil.
Selepas tahun 1988, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan 121 (1A) telah mengasingkan kedua-dua mahkamah itu, namun bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi rendah. Sebagai contoh, mahkamah syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman dalam kadar yang agak ringan di mana pesalah hanya boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 3 tahun, denda tidak melebih RM5,000 dan sebat tidak lebih daripada enam kali. Secara total, itu sahaja kuasa yang tertakluk di bawah mahkamah seperti mana yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka  sukar melaksanakan hudud sekiranya bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi kecil dan rendah.
Sistem di Brunei berbeza dengan Malaysia di mana kuasa tertinggi terletak pada Sultan sendiri dan Negara tersebut mengamalkan pemerintahan secara monarki. Oleh yang demikian, sultan berhak menitahkan sebarang arahan kepada  kerajaannya sama ada mahu dilaksanakan undang-undang Islam atau sebaliknya. Perkara ini tidak berlaku di negara kita, Walaupun ada di kalangan sultan Melayu yang menitahkan hukum hudud untuk dijalankan, namun ia tidak mengikat pihak Parlimen untuk melaksanakannya.

Perkara pokok yang perlu dibuat adalah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan kelulusan 2/3 ahli Parlimen daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Keduanya, kerajaan perlu meminda akta bidang kuasa mahkamah syariah 1984 yang membataskan bidang kuasa mahkamah syariah selama ini. Kedua-dua perkara tersebut merupakan batasan atau kekangan yang menjadikan Malaysia tidak boleh melaksanakan hukum hudud. 2/3 kelulusan yang dimaksudkan turut melibat ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam juga. Walaupun hukum hudud hanya tertakluk kepada individu beragama Islam, namun persetujuan daripada ahli Parlimen bukan Islam juga diwajibkan.

Kelantan tidak boleh melaksanakan hudud disebabkan keterbatasan akta bidang kuasa mahkamah Syariah 1984 untuk menjatuhkan  hukuman seperti yang dijelaskan dalam hukum hudud. Kuasa yang diberikan oleh Parlimen kepada kerajaan negeri merujuk jadual 9 senarai 2, khusus melibat  jenayah- jenayah bersifat individual sahaja. Selain itu, sebarang undang-undang yang hendak dibuat dan dijalankan oleh kerajaan negeri mesti selari dengan perlembagaan. Hal ini bermaksud, sebarang hukuman yang hendak dibuat oleh kerajaan negeri mesti tidak boleh mendahului daripada segala yang termaktub di dalam perlembagaan.Perkara tersebut yang menyebabkan sehingga ke hari ini Kelantan tidak dapat laksanakan undang-undang Islam itu.

Kita tidak boleh mempersoalkan hukum  hudud itu tidak boleh dilaksanakan kerana perkara itu sememangnya sudah termaktub dalam al-Quran. Cepat atau lambat kita tetap wajib menjalankan. Cuma yang kita mesti lihat adalah berkenaan masa, sama ada sesuai atau pun tidak, malah pihak terlibat perlu juga melihat kekangan- kekangan yang mampu menidakkan hukum hudud itu dilaksanakan. Malaysia mempunyai dua sistem iaitu mahkamah sivil dan syariah. Jadi, sekiranya kita hendak melaksanakan hudud di mahkamah syariah misalnya, ia juga secara tidak langsung akan melibatkan beberapa peruntukan undang-undang yang sekarang tertakluk di bawah mahkamah sivil. Sebagai contoh, kesalahan mencuri; perkara tersebut sudah ada di bawah kanun keseksaan. Di bawah kanun keseksaan pencuri mungkin dipenjarakan tetapi sekiranya mengikut hudud, pesalah wajib dikenakan hukuman potong tangan. Perkara sama turut berlaku terhadap kesalahan zina di mana ia tertakluk pada enakmen jenayah syariah. Di bawah kesalahan itu, pesalah hanya boleh dipenjarakan tak melebihi 3 tahun atau didenda lebih dari RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Secara total, kesemua kesalahan yang boleh didakwa di bawah hukuman hudud sama sekali bercanggah dengan kuasa hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah. Berbalik kepada hukuman hudud, saya berasa sudah ada kewajaran untuk pihak terbabit melaksanakan hukuman itu.

Hal ini berdasarkan pada statistik kesalahan atau jenayah yang makin ketara di negara ini. Namun, apabila kita sudah bersedia melaksanakannya nanti, pastinya akan terhasil satu perubahan yang besar dan ketara. Antara yang boleh dilihat jelas adalah pelbagai kesalahan di bawah mahkamah sivil akan dipindahkan ke mahkamah syariah. Pelaksanaan hudud bukan melibatkan soal majmuk atau tidak sesebuah masyarakat itu (jika nak dilaksanakan hudud). Hal ini kerana hudud hanya melibatkan orang Islam. Orang bukan Islam mempunyai pilihan sama ada mahu memilih undang-undang sivil yang sedia ada atau hukum hudud. Jadi, soal majmuk bukan merupakan kekangan atau masalah yang membuatkan Malaysiasehingga ke hari ini tidak mampu melaksanakan hudud.


Rabu, 11 Disember 2013

ERTI JIHAD DALAM GERAKAN SIYASAH

"Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah, jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi) kecuali terhadap orang-orang yang zalim." 
(al-Baqarah: 194)

Menilai kepada tafsiran "perangilah mereka" di dalam ayat di atas adalah bermaksud berjihad yang bukan bermaksud berperang menumpahkan darah. Ia lebih kepada melaksanakan tugas atau kerja-kerja dakwah dengan bersungguh-sungguh supaya masyarakat tidak menimbulkan sebarang fitnah atau pertikaian mengenai perlaksanaan Islam dalam kehidupan seharian. Gerak kerja di jalankan dengan tersusun di dalam jamaah melalui jawatankuasa perlaksana agar dakwah dan pengertian ajaran Islam dapat di sampaikan kepada masyarakat.

Kata al jihad menurut bahasa berarti : badzlu al juhdi (mengerahkan kesungguhan), badzlu aqsha ath thaqqah (mengerahkan kekuatan secara maksimal). Sedangkan menurut ishthilahi (terminologi)nya, kata al jihad mempunyai makna : badzlu an nafsi wal maali fie nushrati dienillah wa munaahidhatu a’daa’allahi ‘azza wa Jalla, yakni : mengorbankan jiwa dan harta dalam rangka membela agama Allah dan melawan musuh-musuh-Nya.
Asy-Syaikh Dr.‘Abdullah ‘Azzam: Tarbiyah Jihadiyah

Gerak kerja dalam melaksanakan tugas menyebarkan dakwah serta meklumat mengenai kefahaman mengenai ajaran Islam itu tidak sekadar di Masjid dan Surau. Perlaksanaan dakwah ini tidak sekadar menyampaikan hukum-hukum dalam ibadah semata-mata. Program-program yang di jalankan di Masjid dan Surau adalah satu tugas yang juga bukan suatu yang ringan dan mudah. Para ustaz perlu membuat bacaan, hafalan serta merujuk kepada sumber-sumber yang sahih dan jelas sebelum menyampaikan kuliah. Maka itu adalah tanggungjawab para ustaz terhadap masyarakat, sebagai ahli kepada gerakan siyasah tidak boleh berlepas tangan bahawa tugas dakwah adalah tanggungjawab para ustaz sahaja.

Islam merupakan satu al-Deen, sebagai mana ditakrifkan oleh Imam Hassan al-Banna:

"Islam adalah sistem hidup yang menyeluruh yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Islam adalah negara dan tanah air atau pemerintahan dan rakyat. Islam adalah akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Islam adalah kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman . Islam adalah kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Islam adalah jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana ia adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sah, sama sahaja"

Gerak kerja siyasah, atau lebih mudah untuk di fahami dengan kerja politik kepada masyarakat demi untuk menarik simpati dan sokongan para pengundi serta memberi kefahaman mengenai dasar yang ingin dilaksanakan dalam negara. Program-program mendekati masyarakat secara umum perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh agar sesuatu program yang di jalankan dapat memberi kesan terhadap sokongan mereka kepada gerakan siyasah ini.

Islam tidak meletakkan para petugas semuanya untuk menjadi para ustaz dan naqib, mereka ini perlu berada di dalam kelompok masyarakat yang pelbagai serta kemahuan yang tidak terhad. Namun kita wajar memenuhi segala tuntutan tersebut demi menarik sokongan, namun prinsip perlu mendasari syariat, wajib kita tampilkan. Islam juga meletakkan kebudayaan, akhlak dan kekuatan, maka tidak wajar bagi anggota gerakaan siyasah membukam segalanya tanpa perlu diterjemahkan kepada masyarakat mengenai tertib dan adab di dalam syariat Islam.

"Tugas utama kita ialah mengubah realiti masyarakat ini. Tugas utama kita ialah mencabut realiti jahiliyah itu dari akar umbinya, realiti yang bertentangan dan berlanggar secara prinsip dengan aspirasi Islam dan dengan konsep Islam, realiti yang menghalang kita dengan menggunakan kekerasan dan tekanan dari kita hidup seperti yang dikehendaki oleh program Ilahi"   
Syed Qutb : Petunjuk Sepanjang Jalan

Usaha inilah yang perlu di lakukan dengan berjihad atau bersungguh-sunguh, menentukan jadual program, mesyuarat antara para petugas serta memastikan bahawa segala keperluan kewangan agar program ini berjaya. Kita tidak sekadar membahas serta membantah cadangan perlaksanaan program kerana kita tidak mampu untuk menjayakannya, maka kita pula yang menjadi penghalang kepada usaha jihad para petugas kita.

Terlalu banyak peluang yang dapat dimanfaatkan untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat, terutama sekali sasaran dakwah kepada para pemuda dan pemudi. Maka dalam merencana program sukan sebagai contoh, terdapat berbagai acara sukan yang boleh dianjurkan sama ada in-door mahupun out-door. Mengadakan kursus-kursus serta program motivasi disamping mengadakan riadah melalui perkhemahan atau konvoi juga dapat dilaksanakan demi menyampaikan maklumat yang benar mengenai Islam.

Tidak ada fitnah dan juga semata-mata ketaatan kepada Allah swt, merupakan suatu usaha menyedarkan kepada masyarakat bahawa Islam mempunyai kaedah yang dikendalikan melalui syariat yang perlu di patuhi. Islam tidak menghalang manusia berinteraksi dan bersosial, malah Islam menganjurkan persaudaraan demi mengeratkan silatur-rahim di samping memastikan masyarakat perlu di pandu mengikut syariat Allah swt.

Maka jangan pula kita sesalkan usia muda kita setelah kita tua, dan apakah jawapan yang akan kita beri kelak mengenai usaha menyampaikan Islam kepada manusia sama ada mereka Muslim dan non-Muslim.

Ahad, 8 Disember 2013

BICARA RASA!: HARGA NAIK @ SUBSIDI TURUN

BICARA RASA!: HARGA NAIK @ SUBSIDI TURUN: Sebagai rakyat, Kita mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai sesuatu perkara yang berlaku dalam negara. Kita boleh ber...

BICARA RASA!: DASAR PENGSWASTAAN GAGAL KINI TPP PULA

BICARA RASA!: DASAR PENGSWASTAAN GAGAL KINI TPP PULA: RAKYAT MALAYSIA! Ini yang ditentang pada suatu ketika dahulu 1985, dan ia berlaku kini dan seterusnya masalah DASAR PENGSWASTAAN NEGARA. ...

BICARA RASA!: MOBILISASI RAKYAT MEMBANTAH GST ...

BICARA RASA!: MOBILISASI RAKYAT MEMBANTAH GST ...: Kerajaan Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan serta kebergantungan perbelanjaan negara bagi sektor awam adalah melalui cukai ...

Jumaat, 6 Disember 2013

MOBILISASI RAKYAT MEMBANTAH GST (Goods Service Tax)

Kerajaan Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan serta kebergantungan perbelanjaan negara bagi sektor awam adalah melalui cukai pendapatan. Semua sumber pendapatan cukai adalah daripada operasi perniagaan, keuntungan syarikat dan juga cukai pendapatan pekerja di sektor swasta. Pihak kerajaan akan mengemukakan belanjawan pada setiap tahun berdasarkan kepada perolehan kutipan cukai yang berjaya di perolehi dari pembayar cukai. Perkara ini meliputi segala perancangan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara yang merangkumi penggunaan, pelaburan, perbelanjaan kerajaan dan eksport bersih. Walaupun demikian, kepada pembayar cukai mereka juga tidak tertakluk semata-mata cukai pendapatan, malah pelbagai cukai yang dikenakan sebagai contoh pembelian kenderaan, pakaian, perkhidmatan hatta hingga kepada makanan serta minuman. Namun semua perkara diatas hanya melibatkan rakyat yang mempunyai pendapatan tetap di sektor swasta serta di kategorikan dalam kelas menengah dan ke atas.

Namun keberkesanan kerajaan dalam usaha memperolehi pendapatan yang cukup adalah bergantung kepada jumlah hasil cukai yang berjaya dikutip. Namun nisbah hasil cukai kepada KDNK (Kuluaran Dalaman Negara Kasar) yang berjaya di perolehi adalah amat rendah pada 2010 sekitar 19.5% sahaja, berbanding dengan negara lain misalnya Denmark berjaya memperolehi kutipan cukai sehingga 50% namun nisbah yang rendah bagi sebuah negara maju sekitar 28.5 %. Antara cadangan bagi usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara adalah dengan mengurangkan kadar cukai korporat dan individu bagi menjana peningkatan aliran tunai di dalam ekonomi negara. Jika perkara ini dilaksanakan, ia akan mengakibatkan pengurangan jumlah cukai perolehan negara, oleh itu antara usaha terkini pihak kerajaan adalah dengan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) Goods & Service Tax.

Pengumuman bagi perlaksanaan GST telah dibuat pada tahun 2005 yang akan di laksanakan pada Januari 2007 dan kini ditangguhkan perlaksanaan pada April 2015 bagi menggantikan Sales & Services Tax (SST). Bacaan rang undang-undang kali pertama telah di buat dan kini bacaan bagi kali kedua juga di tangguhkan. Penangguhan ini adalah bagi mengambilkira pandangan masyarakat serta peralihan sistem perkomputeran bagi syarikat-syarikat. Antara cadangan perlaksanaan GST adalah disebabkan kebergantungan kerajaan terhadap cukai pendapatan petroluem. Namun hakikatnya adalah kerajaan telah gagal memperolehi hasil cukai daripada para peniaga dan syarikat korporat mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Government-Linked Company. Kelemahan penguatkuasaan yang melibatkan Jabatan Kastam (Kastam) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam membuat pemeriksaan mengenai laporan kewangan para peniaga dan syarikat korporat. Cukai Jualan dan Perkhidmatan adalah tugas Jabatan Kastam, manakala pembayaran cukai korporat serta individu di kendalikan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri. Integrasi sistem maklumat mengenai hasil jualan dan perkhidmatan oleh pihak Kastam dan maklumat mengenai kewangan syarikat kepada pihak LHDN tidak saling berkaitan.

SST hanya melibatkan jualan serta perkhidmatan yang melibatkan golongan pendapatan sederhana keatas, ini kerana SST hanya melibatkan cukai jualan barangan di gedung ekslusif. Disamping barangan makanan di hotel serta cukai perkhidmatan hotel dan juga kedai makanan segera seperti McDonald, KFC dan sebagainya. Bagi mereka, cukai yang telah mereka bayar kepada kerajaan sudah cukup tinggi, melibatkan cukai keuntungan syarikat, cukai pendapatan, cukai jalan, cukai kenderaan mewah, cukai pembelian barangan import dan berbagai perhidmatan yang bertaraf 5 bintang dan eksklusif. Pada hakikatnya golongan mereka ini yang banyak melarikan diri dari membayar cukai, seperti yang di tunjukkan pada gambarajah di atas. (Peniaga "mengambil kesempatan").

Sebagai jalan mudah bagi memperolehi pendapatan adalah dengan mengenakan cukai semua barangan keperluan rakyat. Maka apabila perlaksanaan GST, dengan sendirinya cukai jualan dan perkhidmatan bagi golongan atasan ini akan dihapuskan, dengan tujuan untuk melibatkan cukai terhadap semua golongan rakyat sama ada miskin dan kaya. Bagi mereka, kekayaan adalah milik mereka bukan untuk rakyat bawahan mendapat pembangunan serta bantuan dari hasil kutipan cukai yang di bayar kepada kerajaan. Maka, inilah isu yang perlu dikendalikan dengan berkesan serta cermat bagi memastikan bahawa cukai yang tinggi hanya kepada mereka yang berpendapatan tinggi dan tiada cukai yang perlu di bayar oleh golongan Marhain.

Perlaksanaan GST akan memberi keuntungan berlipat ganda kepada golongan atasan yang mana mereka ini wajar di kenakan cukai yang tinggi demi membantu golongan yang berpendapatan sederhana. GST akan menekan rakyat yang berpendapatan sederhana, di mana hampir semua barangan keperluan akan di kenakan cukai. 

Rabu, 4 Disember 2013

DASAR PENGSWASTAAN GAGAL KINI TPP PULA

RAKYAT MALAYSIA! Ini yang ditentang pada suatu ketika dahulu 1985, dan ia berlaku kini dan seterusnya masalah DASAR PENGSWASTAAN NEGARA.

"Kebimbangan-kebimbangan terhadap Dasar Pengswastaan timbul kerana akan berlakunya beberapa pemindahan hakmilik 'national monopoly' yang sepatutnya dikendalikan oleh sektor awam kepada syarikat swasta. Pemindahan itu dikuatiri boleh menyebabkan kenaikan kos, harga dan agihan pendapatan yang tidak serata disebabkan oleh pemonopolian tersebut. 

Walaubagaimanapun, jika dasar ini dikaji secara mendalam dan dipraktikkan secara sempurna selepas mengambil kira kemungkinan penyalahangunaan kuasa monopoli di atas, ianya akan dapat menyediakan satu perkhidmatan yang lebih cekap, cepat dan murah pada pengguna penggunanya, yang mana secara tidak langsung akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara."

Kenyataan ini di petik dari laman web berikut:

Bagaimana kebimbangan tersebut berlaku sekarang, ini kerana mereka ini menggunakan pengswastaan sebagai cara singkat untuk memiliki kekayaan. Para pemimpin daripada parti kerajaan akan melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung dalam syarikat-syarikat milik kerajaan ini (Government Linked Company) GLC. Mereka ini akan di serapkan didalam GLC sebagai alat bagi memudahkan segala urusan pemilikan khazanah negara dapat di bolot dengan lebih mudah dan cepat. Kepada mereka yang dilantik secara professional, dengan pengalaman serta pengetahuan dalam pengendalian syarikat ini akan di minta untuk akur kepada permintaan pemimpin ini tadi atau mereka ini akan dikenakan tindakan pemberhentian.

Segala bebanan hutang serta kerugian GLC ini terpaksa atau di paksa menggunakan wang rakyat seperti Petronas, KWSP setelah hasil cukai rakyat di habiskan. Ini adalah disebabkan para pemimpin kerajaan ini telah memindah milikan keuntungan serta sejumlah wang tersebut sebagai hak peribadi mereka. Maka kebimbangan ini telah pun di nyatakan di dalam Dasar Pengswastaan diatas, yang mana monopoli telah bertukar menjadi hak peribadi. Lihat kepada laporan Jabatan Audit Negara, yang mana pembuktian ketirisan dan pemborosan wang kerajaan tidak memberi sebarang impak terhadap penjimatan wang rakyat.

Setelah segala ketirisan di samping kerugian yang di alami oleh GLC, maka jalan pintas bagi mereka ialah dengan mengarahkan kenaikan harga barang dengan mengemukakan alasan mengurangkan subsidi sebagai langkah penstrukturan semula. Sejauhmana keberkesanan pengswastaan yang akhirnya bagi mereka golongan pemimpin parti kerajaan ini adalah untuk mengaut segala-galanya dan kemudian segala beban kerugian tadi di kembalikan kepada rakyat.

Akhirnya, subsidi yang menjadi alat untuk penstabilan harga juga turut dirampas, semata-mata untuk mengekalkan kekayaan walaupun syarikat GLC tersebut sudah tidak mampu untuk menampung perbelanjaan operasi. Menaikan harga sesuatu barang atau perkhidmatan adalah suatu kaedah ekonomi jangka pendek, ia adalah bertujuan untuk mendapat aliran tunai dengan cepat. Namun setalah kedudukan tunai stabil, sewajarnya harga tersebut perlu di turunkan semula. Namun perkara ini tidak pernah dan tidak akan berlaku, ini kerana aliran tunai syarikat tersebut sudah tidak mampu untuk menampung kos operasi syarikat tersebut. Ia adalah disebabkan tindakan mereka ini yang terus-menerus untuk menjadi senantiasa kaya, maka dengan sebab itu harga barang atau perkhidmatan tidak boleh di turunkan.

Setelah kehabisan segala sumber kewangan atau aliran tunai kerajaan sama ada melalui GLC serta dana cukai kerajaan, maka mereka ini mencadangkan bahawa Malaysia perlu bersedia untuk menerima TPP (Trans-Pacific Partnership). Ini adalah suatu usaha kerajaan untuk mendapatkan sumber aliran tunai dengan membuka pasaran negara kepada para pelabur asing luar negara. Antara negara yang terlibat seperti Singapura dan Brunei, negara ini telah mempunyai sumber kewangan yang tidak terhad dengan kedudukan ekonomi yang stabil serta kepadatan penduduk yang agak kecil. Oleh itu, membuka pasaran negara kepada luar tidak banyak memberi kesan malah mereka mampu untuk memindah milik hak pelabur luar negara tadi dengan membeli syarikat mereka menjadikan sebagai sebuah GLC. 

Kemampuan rakyat serta kerajaan sudah tiada pada ketika ini, namun pemimpin parti kerajaan tidak menghiraukan akan perkara ini. Pada mereka, ia suatu kurniaan atau takdir Allah yang telah diberikan kekayaan yang telah mereka perolehi. Hakikatnya, kita sebagai rakyat Malaysia, perlu bertindak dan sedar bahawa takdir Allah itu bukan yang baik sahaja untuk mereka dan yang buruk sahaja untuk kita semua. Sesuatu perlu di lakukan demi kesejahteraan generasi yang akan datang, jika kita mati tanpa memikirkan keadaan masa depan generasi keluarga kita akan datang,  adalah lebih baik tidak perlu kita hidup kini mahupun akan datang.

" Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau kerja sekadar berkerja kera juga bekerja."
Buya HAMKA.

Selasa, 5 November 2013

PEMUDA MUSLIM MENJANA PERUBAHAN MASYARAKAT

Terlalu banyak sebab menimbulkan perubahan dalam sesebuah masyarakat, antara lain bertambah majunya ilmu pengetahuan dan teknik, kerana komunikasi dan transformasi, urbanisasi, bertambahnya harapan dan tuntutan nilai dalam sesebuah masyarakat.

Kemajuan ilmu pengetahuan adalah kemajuan mental, kemajuan teknikal membawa kepada kemajuan material dalam sesebuah masyarakat.

Seorang pemuda yang yang berasal dari sebuah desa dan kemudiannya hidup di kota pasti merasai suatu perubahan, bergantung kepada penerimaan beliau dalam bermasyarakat di sesebuah kawasan. Jika perkara ini berlaku, dan terikut-ikut dengan masyarakat setempat yang kononnya maju, (pola kebudayaan kota ialah pola barat) dengan meninggalkan adat desanya, maka masyarakat akan melihat pemuda ini menjadi rosak dengan kata lain kejutan budaya. Namun jika pemuda tersebut masih berpegang kepada budaya desanya, maka masyarakat setempat akan melihat pemuda ini seorang yang mundur.

Dengan demikian jelaslah bahawa maju atau mundurnya masyarakat dalam proses perubahannya ditentukan oleh nilai yang di pegang oleh pemuda tersebut. Bagi mereka yang materialisma, ukuran itu adalah material semata-mata, bagi sekularisma, nilai keduniaan bagi kemanusiaan adalah perbandingan mereka.

Namun, Islam datang dengan ukuran yang sama sekali berbeza. Ia tidak meletakkan ukuran pada kebendaan, kehidupan duniawi atau akal manusia tetapi pada nilai Rabbani. Suatu nilai yang ditentukan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah saw.

Apabila masyarakat Muslim mengerahkan anak-anak mereka ke arah pendidikan sekular (duniawi semata), maka timbul dalam masyarakat Muslim itu pemimpin sekular (sekalipun mereka tetap merasakan dan menyakini dirinya Muslim). Pemimpin sekular memimpin masyarakatnya kepada sekularisma dan membina masyarakatnya kearah negara sekular serta berfungsi mengatur dan mengajar umat keseluruhan sebagai warganya yang mematuhi sekularisma.

Jikalau di amati cara hidup kebanyakkan umat Islam kini, yang benyak dipengaruhi oleh perubahan yang berlaku oleh kebudayaan barat, gejala hendonisma ini tidak dapat dielakkan. Di dalam cara mereka berfikir dan merasai kehidupan sosial, ekonomi dan politik mereka akan hanya berpandukan kepada pemimpin yang sekular.Islam meletakkan Taqwa dalam memenuhi segala tuntutan hidup, yang memastikan kehidupan duniawi dan ukhrawi senantiasa berada di atas landasan al-Quran dan as-Sunnah.



"Katakanlah (wahai Muhammad) mahukah Aku beritahu kepada kamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatan-perbuatan mereka? Orang yang sia-sia sahaja amal perbuatan mereka di dalam kehidupan dunia ini sedangkan mereka itu menyangka bahawa mereka sebenarnya berbuat baik? Mereka itulah orang-orang yang kufur dan tidak bersyukur dan tidak percayakan perintah Tuhan mereka dan tidak percaya bahawa mereka akan menghadap Tuhan mereka itu lalu pekerjaan mereka menjadi hampa dan Kami tidak berikan sebarang pertimbangan dan penilaian kepada mereka di hari kiamat. Balasan mereka ialah neraka jahannam kerana kekufuran mereka dan kerana mereka mempersenda-sendakan perintah-perintah-Ku dan juga rasul-rasul utusan-Ku"

Surah al-Kahfi: 103-106


Khamis, 31 Oktober 2013

BICARA PEMUDA MUSLIM

Bicara pemuda adalah bicara rasa rakyat yang kita dampingi dan dekati. Bicara kita di kedai-kedai kopi, di tempat mencuci kereta, di perhentian bas, teksi mahupun lrt.
Maka nada dan intonasi kita adalah bicara rakyat umum, berbagai bangsa dan golongan. Tidak wajar dendangan kita umpama alunan nasyid atau khutbah jumaat yang menjadi ubat tidur di siang hari. Kita bukan para penasihat yang alim untuk menyatakan haram, halal, sunat mahupun wajib. Kita pemuda bermuamalat mengenai maslahah umat, segalanya adalah harus sehingga dalil nas yang membataskan sesuatu urusan (muamalah).
Dimana mungkin pimpinan beroleh maklumat, luahan rasa di bengkel kereta, di kedai kopi, di stesen pengangkutan awam serta pemandu teksi. Jangan kita membayangkan bahawa sesuatu kawasan itu umpama di Sungai Penchala yang masyarakat semata-mata ahli al-Arqam. Kesempitan hidup tidak bermaksud kita hidup susah wang ringgit, kesempitan fikiran yang jumud, berbangga diri, kitalah ahli ibadah yang mempunyai karektor orang alim.
Pemuda, tidaklah kekok dalam bertempat, tidak jua jahil dalam bicara. Buka minda dan memacu bicara pemuda, jangan berdengki setelah kita tua, masa muda kita sesalkan diri umpama orang tua. Tenaga muda diguna bicara umpama orang tua, itu tidak boleh ini tidak boleh. Maka apa kata kita apabila anak dewasa, suatu perkara tidak pernah dirasa untuk membantu anak menjana tenaga mudanya.

HARGA NAIK @ SUBSIDI TURUN

Sebagai rakyat, Kita mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang tepat mengenai sesuatu perkara yang berlaku dalam negara. Kita boleh berkongsi maklumat bersama rakan, keluarga dan pemimpin masyarakat. Begitu juga maklumat melalui media sama ada surat khabar, siaran radio dan televisyen.
Kerajaan tidak boleh menghalang rakyat untuk memilih saluran maklumat itu disebarkan mahupun di perolehi, dari mana pun maklumat (info) kita sebagai rakyat sudah bijak menilai.
Sebagaimana kerajaan menetapkan harga barangan keperluan rakyat, tanpa merujuk kepada Parlimen serta berbincang dengan wakil yang dipilih oleh rakyat. Rakyat juga boleh memilih untuk membeli serta membelanjakan wang untuk suatu barangan.Pastinya yang murah kerana ada keperluan lain wang tersebut harus dimanfaatkan, namun perkara ini ada juga yang tidak bijak.
Walaupun dikalangan mereka ini, pegawai kerajaan, menteri di kementerian dan para pengampu kerajaan hati telah dilitupi kebodohan oleh mereka yang bodoh membodohkan rakyat.
Ahli sunnah wal jamaah tidak membataskan untuk berpegang kepada satu mazhab, dalam melaksanakan ajaran Islam, tidak jumud dan sempit. Kita sebagai Muslim, janganlah disesatkan oleh mereka yang menyesatkan, bahkan mereka ini telah jauh SESAT!