ISU hukum hudud
bukanlah perkara baru. Ia sudah mendapat liputan meluas di negara ini. Pelbagai
reaksi dan pandangan telah diberikan pelbagai pihak mengenainya sehingga
mengundang pelbagai kontroversi. Meskipun begitu, bagaimana dan bila hudud
mampu dikuatkuasakan di Negara ini masih terus menjadi teka-teki pelbagai
pihak. Hukum hudud ertinya hukuman yang
telah ditetapkan ALLAH dalam al-Quran dan hadis. Manusia dilarang mengubah,
menokok atau mengurangkannya. Hukum hudud terdiri daripada pelbagai jenis
kesalahan. Dalam perbahasan ulama, hudud dikatakan mempunyai enam atau
tujuh kesalahan. Antaranya zina, qazaf, minum arak, merompak, murtad dan membunuh. Kesalahan-kesalah yang disebutkan itu bukan sahaja telah
termaktub di dalam al-Quran, malah hukumannya juga telah ditetapkan ALLAH.
Sebagai contoh, sesiapa yang mencuri, baik lelaki atau perempuan, hukumnya
ialah potong tangan.
Berbalik pada sejarah, pada tahun 1511, Kesultanan Melayu Melaka difahamkan sudah pun melaksanakan hukum hudud. Bagaimanapun, kedatangan British pada 1874 menyebabkan hukum itu terhakis. Memburukkan lagi keadaan, fungsi mahkamah syariah sudah dikecilkan sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Mahkamah syariah pada waktu itu diletakkan di bawah mahkamah sivil dan sebarang keputusan mahkamah syariah boleh dipinda oleh mahkamah sivil. Selepas tahun 1988, pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan 121 (1A) telah mengasingkan kedua-dua mahkamah itu, namun bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi rendah. Sebagai contoh, mahkamah syariah hanya boleh menjatuhkan hukuman dalam kadar yang agak ringan di mana pesalah hanya boleh dijatuhkan hukuman maksimum penjara 3 tahun, denda tidak melebih RM5,000 dan sebat tidak lebih daripada enam kali. Secara total, itu sahaja kuasa yang tertakluk di bawah mahkamah seperti mana yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka sukar melaksanakan hudud sekiranya bidang kuasa mahkamah syariah masih lagi kecil dan rendah.
Sistem di Brunei berbeza dengan Malaysia di mana kuasa
tertinggi terletak pada Sultan sendiri dan Negara tersebut mengamalkan
pemerintahan secara monarki. Oleh yang demikian, sultan berhak menitahkan
sebarang arahan kepada kerajaannya sama ada mahu dilaksanakan
undang-undang Islam atau sebaliknya. Perkara ini tidak berlaku di negara kita,
Walaupun ada di kalangan sultan Melayu yang menitahkan hukum hudud untuk
dijalankan, namun ia tidak mengikat pihak Parlimen untuk melaksanakannya.
Perkara pokok yang perlu dibuat
adalah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan kelulusan 2/3 ahli Parlimen
daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Keduanya, kerajaan perlu meminda akta
bidang kuasa mahkamah syariah 1984 yang membataskan bidang kuasa mahkamah
syariah selama ini. Kedua-dua perkara tersebut merupakan batasan atau kekangan
yang menjadikan Malaysia tidak
boleh melaksanakan hukum hudud. 2/3 kelulusan yang dimaksudkan
turut melibat ahli-ahli Parlimen yang bukan beragama Islam juga. Walaupun hukum
hudud hanya tertakluk kepada individu beragama Islam, namun persetujuan
daripada ahli Parlimen bukan Islam juga diwajibkan.
Kelantan tidak boleh melaksanakan
hudud disebabkan keterbatasan akta bidang kuasa mahkamah Syariah 1984 untuk
menjatuhkan hukuman seperti yang dijelaskan dalam hukum hudud. Kuasa yang
diberikan oleh Parlimen kepada kerajaan negeri merujuk jadual 9 senarai 2,
khusus melibat jenayah- jenayah bersifat individual sahaja. Selain itu,
sebarang undang-undang yang hendak dibuat dan dijalankan oleh kerajaan negeri mesti selari dengan
perlembagaan. Hal ini bermaksud, sebarang hukuman yang hendak dibuat oleh
kerajaan negeri mesti tidak boleh mendahului daripada segala yang termaktub di
dalam perlembagaan.Perkara tersebut yang menyebabkan sehingga ke hari ini
Kelantan tidak dapat laksanakan undang-undang Islam itu.
Kita tidak boleh mempersoalkan hukum
hudud itu tidak boleh dilaksanakan kerana perkara itu sememangnya sudah
termaktub dalam al-Quran. Cepat atau lambat kita tetap wajib menjalankan. Cuma
yang kita mesti lihat adalah berkenaan masa, sama ada sesuai atau pun tidak,
malah pihak terlibat perlu juga melihat kekangan- kekangan yang mampu
menidakkan hukum hudud itu dilaksanakan. Malaysia mempunyai dua sistem
iaitu mahkamah sivil dan syariah. Jadi, sekiranya kita hendak melaksanakan
hudud di mahkamah syariah misalnya, ia juga secara tidak langsung akan melibatkan
beberapa peruntukan undang-undang yang sekarang tertakluk di bawah mahkamah
sivil. Sebagai contoh, kesalahan mencuri; perkara tersebut sudah ada di bawah
kanun keseksaan. Di bawah kanun keseksaan pencuri mungkin dipenjarakan tetapi
sekiranya mengikut hudud, pesalah wajib dikenakan hukuman potong tangan.
Perkara sama turut berlaku terhadap kesalahan zina di mana ia tertakluk pada
enakmen jenayah syariah. Di bawah kesalahan itu, pesalah hanya boleh dipenjarakan tak melebihi 3 tahun atau didenda lebih dari RM5,000
atau kedua-duanya sekali. Secara total, kesemua kesalahan yang boleh didakwa di
bawah hukuman hudud sama sekali bercanggah dengan kuasa hukuman yang boleh
dijatuhkan oleh mahkamah syariah. Berbalik kepada hukuman hudud, saya berasa
sudah ada kewajaran untuk pihak terbabit melaksanakan hukuman itu.
Hal ini berdasarkan pada statistik
kesalahan atau jenayah yang makin ketara di negara ini. Namun, apabila kita
sudah bersedia melaksanakannya nanti, pastinya akan terhasil satu perubahan
yang besar dan ketara. Antara yang boleh dilihat jelas adalah pelbagai
kesalahan di bawah mahkamah sivil akan dipindahkan ke mahkamah syariah.
Pelaksanaan hudud bukan melibatkan soal majmuk atau tidak sesebuah masyarakat
itu (jika nak dilaksanakan hudud). Hal ini kerana hudud hanya melibatkan orang
Islam. Orang bukan Islam mempunyai pilihan sama ada mahu memilih undang-undang
sivil yang sedia ada atau hukum hudud. Jadi, soal majmuk bukan merupakan
kekangan atau masalah yang membuatkan Malaysiasehingga ke hari ini tidak
mampu melaksanakan hudud.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan