Saya ingin
menyekolahkan Dato’ Seri Najib Razak yang baru-baru ini memomok janji Pakatan
Harapan untuk memansuhkan GST dengan alasan tanpa GST Perbendaharaan akan
hilang RM42 bilion setahun.
Sebenarnya saya
telah ulas dengan mendalam dan disokong dengan angka-angka mengenai perkara ini
di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” yang saya tulis dan dilancarkan
baru-baru ini. Cara untuk menguruskan Perbendaharaan tanpa mengenakan GST ada
dihuraikan di dalam Bab 4 bertajuk “Mengurus Perbendaharaan Negara”.
Punca yang
menyebabkan Kerajaan Perseketuan kesempitan sumber kewangan ialah kerana kerajaan
terus berbelanja melebihi pendapatan sepanjang dekad lalu dan dekad ini
sehingga mewujudkan hutang yang besar (yang digunakan untuk menampung defisit
apabila perbelanjaan melebihi pendapatan setiap tahun).
Sebab itu pengurusan
perbendaharaan negara tidak hanya berkisar kepada menambah pendapatan, tetapi
yang sama penting ialah mengawal perbelanjaan untuk mengurangkan keperluan
pendapatan bagi membiayai perbelanjaan tersebut.
Apabila perbelanjaan
yang membazir dihentikan dan ketirisan dikawal, penjimatan dari perbelanjaan
itu adalah lebih dari mencukupi untuk menampung kekurangan hasil kutipan GST
yang dihapuskan.
Oleh itu, untuk
pengetahuan Dato’ Seri Najib, tiga kaedah yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan
untuk menampung perbelanjaan negara setelah GST dihapuskan dihuraikan seperti
berikut:
Kaedah 1:
Membanteras Rasuah, Mengurangkan Ketirisan
Saya sedar akan ada
orang yang memperlekehkan hujah ini dengan alasan pembangkang hanya tahu
menyebut kes-kes rasuah sebagai bukti ketirisan, tetapi tidak tentu wang dari
kes-kes rasuah itu boleh dikembalikan. Akhirnya, jika GST dihapuskan (kata
mereka), kerajaan tetap akan kekurangan dana yang akan menjejaskan operasi
kerajaan.
Sebenarnya saya dan
rakan-rakan di National Oversight and Whistleblowers (NOW) telah membuat satu
kajian akademik yang menggunakan kaedah statistik dan matematik untuk
menganggarkan berapa penjimatan yang realistik setiap tahun sekiranya
pembaziran dan ketirisan dapat dikawal.
Untuk mengetahui
berapa kuantum penjimatan yang realistik, kami perlu menganggarkan terlebih
dahulu tahap pembaziran dan ketirisan kerajaan.
Kaedah yang kami
bangunkan diterbitkan di dalam satu buku terbitan NOW yang bertajuk “Indeks
Pembaziran Kerajaan” yang diterbitkan tahun lalu.
Indeks Pembaziran
Kerajaan (IPK) adalah satu peratusan yang memberi anggaran peratusan
perbelanjaan kerajaan yang sebenarnya adalah ketirisan dan pembaziran,
berdasarkan data-data rasmi kerajaan.
IPK dibangunkan
dengan kaedah berikut:
i. Segala maklumat
pembaziran, ketirisan dan kerugian yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara di
dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 dikatalogkan mengikut jenis dan jumlah
ii. Setiap kes
pembaziran itu disemak dengan membandingkan jumlah kerugian yang dikenalpasti
dengan jumlah peruntukan yang dikendalikan oleh jabatan/kementerian tersebut
iii. Kaedah
statistik digunakan untuk menganggarkan saiz peruntukan yang terdedah kepada
ketirisan dan penyelewengan mengikut jabatan/kementerian
iv. Kaedah statistik
digunakan untuk menganggarkan peratusan ketirisan dan kerugian mengikut
kementerian dan dijumlahkan bagi keseluruhan kerajaan
Berdasarkan
data-data yang terkandung di dalam Laporan Ketua Audit, keputusan IPK
menunjukkan anggaran pembaziran purata bagi tahun 2014 ialah 15.5% dari
perbelanjaan kerajaan yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap yang
seumpama dengannya.
Bila IPK pada paras
15.5% ini dipadankan dengan anggaran jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan
(yang tidak melibatkan gaji atau kenaan tetap) bagi 2017 yang dianggarkan
berjumlah RM136 bilion, ada potensi jumlah penjimatan sebanyak RM21 bilion.
Kaedah 2: Pentadbiran
Kewangan Yang Telus Mengurangkan Bayaran Faedah Tahunan
Satu lagi potensi
penjimatan perbelanjaan yang boleh dicapai dengan mudah ialah belanja tahunan
membayar faedah di atas hutang-hutang yang dipinjam oleh Kerajaan Persekutuan.
Setakat April 2017,
jumlah hutang Kerajaan Persekutuan seperti yang disiarkan oleh Perbendaharaan
adalah sebanyak RM649 bilion. Dari jumlah itu, bentuk hutang terbesar ialah
kertas hutang Kerajaan Malaysia
(“Malaysian Government Securities” atau MGS) pada jumlah RM357 bilion, diikuti
dengan kertas hutang Terbitan Pelaburan Kerajaan (“Government Investment
Issues” atau GIIs) sebanyak RM235 bilion.
Hutang-hutang dalam
bentuk kertas hutang yang diterbitkan ini perlu ditebus oleh Kerajaan Malaysia bila
sampai tarikh matangnya. Sementara menunggu matang, Kerajaan Malaysia perlu
membayar faedah tahunan (selalu disebut sebagai “coupon rate”) mengikut kadar
yang diurusniagakan di pasaran hutang.
Seperti juga saham
yang dijual beli, kertas-kertas hutang yang diterbitkan kerajaan juga boleh
dijual beli. Bagi jual beli saham, lebih baik saham itu, maka lebih tinggi
harga yang ditawarkan untuk membeli saham tersebut.
Keadaannya terbalik
bagi kertas hutang.
Lebih stabil
sesebuah kerajaan dan lebih tinggi reputasi kewangannya, maka pelabur sanggup
untuk mendapat bayaran bunga yang lebih rendah demi memegang kertas hutang
tersebut. Jika kerajaan itu tidak dihormati dan dicurigai, pelabur tidak ada
keyakinan dan kadar faedahnya pun didagangkan tinggi.
Oleh sebab itulah,
reputasi antarabangsa Kerajaan Malaysia
di mata pelabur adalah sangat penting kerana ia menentukan jumlah bayaran
faedah yang perlu dibayar dan ditanggung oleh rakyat Malaysia .
Skandal 1MDB yang
merosakkan nama baik Malaysia
telah menyebabkan pelabur-pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi bagi
setiap ringgit kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia .
Sebab itulah belanja
membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dianggarkan berjumlah RM29 billion,
iaitu lebih dari separuh wang hasil GST yang dikutip terpaksa digunakan untuk
membayar faedah.
Saya yakin jika
reputasi kewangan Kerajaan Malaysia
dipulihkan, pentadbiran baru boleh meyakinkan pasaran dan pelabur. Keyakinan
pelabur itu akan diterjemahkan ke dalam kadar faedah ke atas kertas-kerta hutang
yang diterbitkan yang lebih rendah. Saya tidak terkejut kadar faedah itu boleh
turun sehingga 1% berbanding kadar sedia ada yang diterjemahkan kepada
penjimatan sebanyak RM6.5 bilion setahun.
Hasil dari dua
langkah segera yang boleh diambil ini dijangka akan menterjemahkan penjimatan
segera sebanyak RM27.5 bilion seperti yang ditunjukkan di dalam jadual
berikut.
Kaedah 3:
Rasionalisasi Cukai melalui Pengenalan Cukai Ke Atas Keuntungan Jual Beli Saham
dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan
Saya pernah menyuarakan
bahawa kerangka sistem percukaian yang ada didasarkan kepada keadaan ekonomi
1970an yang kini tidak lagi sesuai dengan bentuk ekonomi negara mutakhir.
Contohnya, orang kaya yang berjual beli saham sehingga untung beratus juta
ringgit dalam tempoh yang singkat tidak dikenakan cukai, sedangkan
negara-negara lain mengenakan Cukai Keuntungan Modal (“Capital Gains Tax”) ke
atas pendapatan sebegini.
Pakatan Harapan
telah menyatakan sebelum ini bahawa Cukai Keuntungan Modal akan diperkenalkan
untuk menggantikan GST agar orang kaya yang membuat untung dari jual beli saham
membayar cukai (dan bukannya orang miskin tidak berpendapatan yang dicukai
GST).
Pemansuhan GST juga
bermakna konsep cukai tidak langsung (“indirect tax”) akan kembali ke konsep
asal iaitu dicukai di kilang sahaja bagi barang-barang tertentu atau
perkhidmatan tertentu di tempat-tempat tertentu. Rasionalisasi percukaian yang
akan dilaksanakan oleh Pakatan Harapan boleh menilai kembali pelaksanaan cukai
tidak langsung melalui kaedah cukai jualan dan perkhidmatan yang dihadkan
kepada barang tertentu di tempat pengilangan dan perkhidmatan profesional dan
perkhidmatan mewah yang tertentu sahaja.
Sebelum pengenalan
GST, kutipan cukai jualan dan perkhidmatan memang pun sudah mencecah sekitar
RM12 bilion setahun. Dengan rasionalisasi yang lebih baik (maknanya jenis
barang dan perkhidmatan yang dikenakan cukai adalah lebih sedikit tetapi
kutipan lebih cekap agar tidak tiris akibat rasuah), saya yakin kerajaan
Pakatan Harapan boleh menjana RM12 bilion dari kutipan cukai tidak langsung,
seperti sebelum pengenalan GST.
Cukup Sumber
Kewangan Bila GST Dimansuhkan
Dengan inisiatif
lain seperti rundingan semula kontrak-kontrak yang berat sebelah dan rampasan
harta dari rasuah yang terlibat dalam skandal-skandal besar, saya tidak nampak
ada masalah yang meruncing untuk menggantikan sumber pendapatan dari GST yang
dihapuskan.
Pokoknya, secara
moralnya GST perlu dihapuskan dan kita ada potensi penjimatan yang cukup untuk
menampung kekurangan hasil apabila GST dihapuskan kelak.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN
KEADILAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan