Terdapat pelbagai cara dan mekanisma bagi melaksanakan kebaikan kepada semua dalam erti kata melakukan amal maaruf dan menjauhkan perkara-perkara mungkar. Perkara ini amat penting untuk kita lakukan agar segala upaya kita hidup di dunia ini akan mendapat kebahagiaan bukan sahaja di dunia malah di akhirat kelak. Seseorang itu mempunyai pelbagai tugas dan tanggungjawab yang perlu dilakukan pada setiap hari. Namun, ia tidak terhad kepada usaha kebaikan kepada kelompok kecil yakni keluarga dan di tempat kerja. Banyak yang perlu dilakukan agar kehidupan mereka bahagia dan kehidupan kita juga akan tetap bahagia. Sewajarnya kita taddabur surah al-Imran ayat 104 yang bermaksud:
" Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah dari yang mungkar; mereka itulah orang-orang yang beruntung"
Kita wajar menjadikan diri kita sebahagian dari golongan yang berjaya terdidik dengan ajaran Islam sebagaimana yang telah di jadikan contoh teladan kepada manusia oleh para sahabat Nabi Muhammad saw pada awal Islam. Kita wajib belajar dari pelbagai aspek kehidupan yang telah dianjurkan oleh Baginda Nabi Muhammad saw terhadap para sahabat Baginda saw. Begitu juga hakikat kehidupan kita pada waktu ini yang menghadapi pelbagai dugaan dan juga cabaran dari pelbagai aspek kehidupan, sama ada ekonomi, sosial dan juga rohani bagi setiap individu yang bernyawa. Jika kita melihat kepada golongan-golongan muda dan remaja itu sendiri, adakah kita leka atau kita berusaha untuk maju dan berjaya. Anak muda itu sememangnya dikenali dengan kegilaan mereka memburu perubahan. mereka tidak senang membatu di tahap sedia ada, sebaliknya sentiasa bergelora meneroka medan baru mencari kemajuan dan perubahan. Mereka suka dicabar dan tetap ghairah untuk mencabar tradisi lama. Budaya lapuk yang dibungkus dengan mitos usang mahu dileburkan. Semangat YAKIN BOLEH! membara di dada, namun pegangan agama bersendikan budaya Timur jangan dileraikan.
Orang muda adalah modal insan yang amat penting dalam sesebuah masyarakat yang bernegara, mereka ini akan menggantikan mereka-mereka yang telah lama dalam pengurusan atasan dari pelbagai peringkat. Kesinambungan antara golongan muda ini wajar di garap serta dibantu agar tidak gelincir di separuh jalan menuju kejayaan. Sumbangan mereka-mereka yang berpengalaman akan banyak memberi aspirasi serta semangat untuk lebih mencipta kejayaan dan kemajuan bangsa di masa akan datang. Kerja jalin antara muda dan tua sering diceritakan dalam sejarah dulu, kini dan selamanya.
Sebagai seorang Mukmin, kita akan senantiasa di pandu arah tujuan hidup kita berlandaskan al-Quran dan juga as-Sunnah Nabi Muhammad saw sabagai cara untuk kita mendapat keredhaan hidup kita di dunia dan juga akhirat. Iman adalah bentuk hubungan manusia dengan Tuhannya, Allah Azzawa Jalla. Kita mengetahui bahawa hubungan persaudaraan antara sesama manusia tidak akan erat, kukuh dan kuat sekali kecuali telah mengalami pelbagai ujian yang lama dan di timpa oleh berbagai kejadian dan peristiwa yang banyak berlaku selama hayat kita.
"Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan saja mengatakan:"Kami telah beriman, lalu mereka tidak akan diuji? Kami telah menguji manusia-manusia sebelum mereka, dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta"
Q.S. al-Ankabut : 2-3)
Sesungguhnya setiap dari kita pasti akan menghadapi pelbagai dugaan hidup, ia meliputi pelbagai aspek kehidupan setiap manusia. Namun ia tidak terhad kepada ujian kesusahan semata-mata, terdapat juga ujian kesenangan dan kemewahan, kedudukan pangkat dan jawatan sebagainya. Maka jika kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, maka kita mendapati bahawa itu semua adalah kerana Allah swt amat mengetahui akan sifat dan sikap setiap dari hamba-hamba-Nya. Jika kita redha dan senantiasa berada pada landasan kebenaran dan inayah dari Allah swt, maka kita wajar berkongsi dengan pelbagai lapisan masyarakat yang mampu kita berikan hasil kebaikan yang dikurniakan oleh Allah swt kepada umat manusia yang lainnya.
Setiap dari kita yang menjadi keutamaan sebagai Muslim mesti berilmu dan beriman. 2 perkara ini wajib kita semai setiap hari dalam hidup kita sehari-hari. Sama ada usaha-usaha meperolehi ilmu itu secara khusus mahupun secara umum, disamping iman itu harus berjalan seiring dengan amal ibadah wajib yang perlu kita laksanakan setiap hari. Ilmu yang diperolehi tadi seharusnya berdasarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah, sebagai pembimbing dan panduan agar kita semua senantiasa berada pada landasan yang betul. Seringkali pertikaian melibatkan perbezaan di dalam melaksanakan sesuatu perkara berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah di mana masing-masing berhujah dengan pelbagai alasan mencari perbezaan dan kelemahan. Perkara ini akan membantutkan usaha-usaha melaksanakan kebaikan dan ia akan menjadikan kita hilang tumpuan dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan kepada masyarakat.
"Barangsiapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperolehi orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperolehi orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun
(Hadith riwayat Muslim: 4831)
Perkara-perkara kebaikanlah yang dinilai oleh Allah swt sebagai pahala untuk menjadi bekal kita semua diakhirat kelak. Sudah pasti setiap dari kita akan menerima perkara-perkara kebaikan yang kita usahakan agar setiap dari masyarakat akan senantiasa melakukan sebanyak mungkin kebaikan demi kebaikan. Namun manusia itu mempunyai sifat tamak haloba dan berdengki sesama mereka, yang kaya masih tidak cukup kekayaan yang dikurniakan oleh Allah swt. Mereka berbanding-banding kekayaan sesama mereka dan berdengki untuk menjadi lebih kaya tanpa mereka sedar bahawa semua itu adalah ujian oleh Allah swt kepada mereka. Tidak cukup dengan itu, mereka ini akan saling memusnahkan sesama mereka dan ini yang akan merosakkan segala amal baik yang telah mereka lakukan sebelum ini.
Hakikat kehidupan di dunia ini adalah jambatan bagi menuju negara abadi diakhirat kelak, dan sewajarnya kita semua mensyukuri segala nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt kepada kita. Jika kesederhanaan dan sering bersyukur keatas semua nikmat-nikmat kurniaan Allah swt, maka sudah pasti kebaikan demi kebaikan akan melimpah-ruah. Usah dibandingkan jawatan dan kekayaan orang lain itu untuk kita menjadi tamak dan berdengki akan menambahkan lagi dosa-dosa yang tidak terpikul diakhirat kelak. Jika tidak kamu dihukum didunia ini, pastinya hukuman yang Maha Adil bakal menemui kamu di akhirat bahkan di neraka Allah swt nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan