Ahad, 22 Oktober 2017

JANGAN PARA AGAMAWAN ITU MEREKA SEMBAH UMPAMA PADERI

Islam itu bukan topeng-topengan bagi mereka yang berhati serigala. Ia perlu kelembutan dalam berdakwah. Bukan tugas menyampai (tabligh) hanya menghukum manusia pada masa ini mereka berada dalam kejahilan. Perlaksanaan gerak kerja dakwah Islam dalam usaha untuk melaksanakan pemerintahan Islam tidak seharusnya berada di dalam keadaan yang sempit serta hanya melibatkan mereka yang sudah faham mengenai Islam. Namun semua usaha ini perlu kepada gerak kerja yang padu serta lebih terbuka serta bersifat umum. Terdapat berbagai-bagai bentuk persatuan dan badan dakwah yang berusaha menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat yang lebih kepada juzuk-juzuk dalam amalan syariat Islam, namun pengertian mengenai kenegaraan sebuah negara yang melaksanakan syariat Islam tidak mendapat tempat dalam masyarakat.


Allah SWT berfirman Surah al-Maidah : 67

    "Wahai Rasul hendaklah engkau sampaikan apa saja yang diturunkan kepada engkau dari Tuhan engkau, jikalau engkau tidak perbuat akan hal itu mengapa tidak engkau sampaikan risalah Tuhan, padahal Allah akan memelihara engkau dari gangguan manusia."

Akhlak Islam itu disamping segi perang, adalah dari segi JIWA. Kekuatan jiwa lebih 100 kalidari kekuatan senjata. Kekuatan yang paling tinggi dalam kekuatan jiwa ialah kekuatan KEADILAN. Adilnya orang yang menang terhadap yang kalah. Inilah menjadi sebab orang-orang tadinya negeri mereka dikuasai, bertambah lama bertambah timbul kecintaan antara yang menguasai dengan yang di kuasai. TIMBULLAH KEBAJIKAN. Hati yang tadinya tebal, kesat, keruh menjadi lunak, lembut sikap dari orang yang menang terhadap orang yang kalah, apabila disertai dengan budi pekerti yang halus tadi itu mesti lebih lama menaklukan, sebab itu maka orang-orang zaman dahulu zaman Rasulullah saw, sahabat-sahabatnya, tangan mereka kuat memegang pedang, tombaknya, tapi hati mereka penuh dengan ramah, kasih sayang, keadilan, keteguhan, budi pekerti yang tahu harga diri dan dapat pula menghargai orang lain, tidak fanatik, tidak hina, tidak rendah.

Maka para agamawan atau lebih manis dibicara sebagai para ulama, mereka sewajarnya menyampaikan dakwah dengan sebaik-baik kaedah bagi menarik jiwa manusia supaya tidak menyekutukan Allah swt dengan yang lainnya. Mereka ini juga dikenal sebagai perwaris nabi, dengan keilmuan dan kefahaman mereka mempelajari ajaran agama Islam demi meneruskan usaha-usaha menarik manusia kembali menyembah Allah swt. Mengajak mereka hidup beragama melalui petunjuk yang dikurniakan kepada kita Rasulullah saw melalui hadith dan sunnah baginda serta para sahabat.

Oleh kerana para agamawan ini mempunyai pengikut-pengikutnya, mereka ini cenderung kepada ketua mereka, hatta ada kepada peringkat menjadi nabi-nabi palsu. Islam tidak meletakkan kemuliaan manusia sekadar menjadi ketua kepada beribu-ribu pengikut, serta mereka juga akan diangkat pada pandangan masyarakat dengan bercirikan pakaian agamawan. Islam hakikatnya meletakkan KETAQWAAN sebagai syarat utama untuk mereka ini mulia disisi manusia dan juga para malaikat.

"Kecelakaan adalah bagi umatku dari (akibat perbuatan) Ulama yang jelek (jahat), mereka memperdagangkan Ilmu ini, mereka sama menjualnya kepada para Penguasa (Pemerintah) di masa mereka dengan maksud untuk keuntungan diri mereka sendiri. Semoga Allah tidak memberi keuntungan pada perdagangan mereka itu."
                                                                           (Hadith Riwayat al-Hakim dari Anas bin Malik)


UNITY GOVENRMENT (UG) PAS SUATU KHIANAT

Unity Government UG bermaksud kerajaan tanpa pembangkang. UG kononnya  akan terjadi setelah PAS berjaya menggagalkan pakatan rakyat PR. Pada permulaan Pas telah mengusir keluar AJK yang membentuk kekuatan Pakatan Rakyat PR. Kemudian PAS berusaha untuk memutuskan kerjasama dengan parti-parti di dalam PR. Apabila PR telah terbubar, maka dari situ usaha PAS untuk melaksanakan UG dengan BN akan dilihat berjaya. Ia adalah dengan memecahkan kekuatan pakatan pembangkang dengan tujuan kononnya Pas adalah satu-satunya parti yang paling kuat dalam pakatan pembangkang. Maka kerjasama kerajaan bersama pembangkang yakni PAS akan menghasilkan UG yang mantap tanpa pakatan pembangkang. Segala usaha-usaha kerajaan akan diberi imej baik oleh Pas demi melaksanakan UG. Dengan usaha hudud melalui RUU355 dapat dijadikan agenda Pas dalam ertikata politik Islam. Kerjasama demi kerjasama dilakukan, menasihati kerajaan dengan berhemah agar tidak dilihat seperti pembangkang tegar sepertimana Pas pada sebelum ini yang sering mengecam sebarang tindakan kerajaan BN yang menzalimi rakyat. Ia agar kelihatan pembangkang sudah lemah dan tidak ujud, maka kejayaan UG akan berjaya dengan menjadikan pembangkang sifar di Malaysia. Kelemahan pakatan pembangkang perlu dipertingkatkan agar rakyat melihat parti-parti pembangkang tidak mampu untuk menjadi kerajaan.

Namun setelah tertubuhnya Amanah dengan kerjasama parti-parti pembangkang yang lain membentuk pakatan pembangkang hingga tertubuhnya pakatan harapan PH. Segala usaha untuk melemahkan Amanah perlu dibuat dgn lebih agresif, disamping melaksanakan agenda memecah belahkan pakatan harapan dengan menimbulkan kesalahan Tun Mahathir sebagai pengerusi Bersatu, mengecam parti DAP sebagai anti Islam, PKR sebagai parti Anwar Ibrahim dan keluarga  dan akhir sekali Amanah sebagai pengkhianat Islam setelah meninggalkan Pas. Apabila DEDAK diperolehi dari BN hasil dari menguburkan PR, Pas membentuk usahasama denga BN agar ia kelihatan seperti UG, kerana usaha memusnahkan pakatan pembangkang telah berjaya. Liputan demi liputan diberikan oleh media kerajaan kepada Pas dengan tujuan untuk melemahkan dan memburukan Pakatan Harapan pada pandangan rakyat. Ia disifatkan sebagai kerjasama BN dalam membantu Pas meninggikan imej UG serta memburukan Pakatan pembangkang bagi tujuan melemahkan pakatan pembangkang.

Mereka merancang namun perancangan Allah swt adalah lebih baik hingga terbentuk gabungan baru yg dikenali sebagai pakatan harapan PH. Sambutan serta sokongan rakyat terhadap Bersatu dan Amanah semakin meningkat di samping kekuatan DAP dan PKR sebagai kerajaan di 2 buah negeri telah menguatkan lagi kerjasama pakatan pembangkang melalui PH. Perkara inilah yang telah menggagalkan segala usaha UG yang dipelopori oleh Pas bersama BN, sehingga kini MCA dan MIC mula risau akan hasil dari UG ini. Anggota BN mula memberi tekanan kepada UMNO agar usaha UG ini dihentikan agar ia kekal perlawanan antara BN dan PH.

Setelah Pas asik pusing-pusing roundabout konon ingin membentuk kerajaan tanpa pembangkang pada PRU14 tidak berjaya. Termasuklah usaha RUU 355 telah gagal oleh kerana ditipu oleh UMNO dan kekuatan PH telah berjaya ditingkatkan melalui ceramah Selamatkan Malaysia Hapuskan Kleptokrasi. Alhamdulillah....sekarang ini rakyat masih tetap mempunyai dua pilihan iaitu memilih BN atau PH. Segala usaha UG untuk melemahkan PH tidak berjaya, kerana kegagalan BN dalam menangani isu2-isu rakyat juga gagal.


Benarlah perkara yg pernah dinyatakan oleh ATGNA bahawa Islam akan dipimpin oleh bukan dari parti Islam, ia akan dipimpin oleh orang-orang yang ikhlas dan benar terhadap perjuangan Islam yang syumul bukan Islam jumud. Serta perkara yang telah dinyatakan oleh AUFN bahawa kejahatan ulama yang sering menyondol-nyondol pintu umarak akan ditimpa kehinaan oleh Allah swt. Sesungguhnya Pas akan menerima balasan dari usaha-isaha khianat mereka terhadap undi rakyat yang mahu terus menentang kezaliman BN. Balasan Allah swt terhadap para penunggang agama amat pedih utk kita terima, namun itu adalah hakikat yang Pas akan terima selepas dari PRU14 nnti.

Isnin, 17 Julai 2017

AGENDA PENTADBIRAN ISLAM


1. Saya menyambut rasa syukur selepas Pakatan Harapan berjaya mengumumkan senarai organisasi mereka dan juga logo yang akan digunakan pada Pilihanraya umum akan datang. Inilah saat yang ditunggu oleh rakyat untuk melihat satu gabungan kuat pembangkang yang mampu menyaingi Barisan Nasional. 

 2. Namun ada pihak yang cuba membangkitkan isu agama kononnya tawaran 100 hari selepas Pakatan Harapan memerintah tidak langsung memberikan penekanan kepada Islam. 

 3. Islam dibina atas makna keadilan dan rahmat. Membina semula sebuah Negara yang sudah rosak dengan segala bentuk salah guna kuasa adalah perkara dharuriyat yang sangat dituntut. Kita sebenarnya telah menyelamatkan manusia dari kesengsaraan yang besar dan membuatkan mereka mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Negara yang tidak diurus dengan baik menyebabkan rakyatnya akan terus dihimpit dengan kemiskinan dan kesengsaraan. 

 4. Tawaran 100 hari yang dikemukakan tersebut jelas selari dengan prinsip politik yang dibawa oleh AMANAH iaitu Politik Rahmah. Politik ini berdiri atas maksud Maqasid Asy-Syariah, meliputi juzuk keadilan hak dan ketelusan politik serta membawa keuntungan dan kebaikan kepada rakyat kebanyakannya. 

 5. Malang sekali jika kita hanya melihat agenda Islam itu dalam sisi pandang yang sangat kecil. Kita menolak pemikiran sekular yang mengambil agama suku politik suku, tetapi tanpa sedar kita sendiri sebenarnya telah mengamalkan politik sekular dengan menjuzuk Islam dalam hal-hal tertentu sahaja 

 6. Pemikiran Politik Islam yang difahami oleh sesetengah para pejuang Islam itu sendiri perlunya kepada pembaharuan dan tajdid. Jika kita berjuang untuk Islam namun langsung tidak menerima konsep keterbukaan maka kita akan merasakan tindakan yang kita lakukan sahaja yang menepati agenda Islam. Pentadbiran Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan hanya kepentingan diri atau kelompok tertentu sahaja sehingga mengenepikan prinsip kepentingan umum. 

 7. Hidup dalam sebuah Negara majmuk dengan pelbagai latar belakang agama dan bangsa memerlukan kita bijak dalam setiap tindakan politik untuk menampilkan agenda Islam. Tawaran 100 hari yang dikemukakan tersebut jelas menepati matlamat menjaga maslahah rakyat dan keadilan bukan kepada orang yang beragama Islam sahaja bahkan juga kepada masyarakat bukan Islam. Tidak perlu meletakkan istilah arab untuk menunjukkan ia adalah agenda Islam, cukup kita sedar matlamatnya akhirnya adalah demi kepentingan Islam. 

 إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَـٰنِ وَإِيتَآىِٕ ذِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنڪَرِ وَٱلۡبَغۡىِ‌ۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّڪُمۡ تَذَكَّرُونَ (٩٠ 

 "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya" (Surah An-Nahl 90) 

 Ustaz Ahmad Awang 
Penasihat Umum Parti Amanah Negara ~ sumber

Jumaat, 7 April 2017

BUKAN KURANG JUBAH, TAPI KURANG AMANAH!

Oleh: Dato' Mohd Asri Zainal Abidin

Negara-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Tidak pula kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Tidak juga kekurangan penceramah yang pelbagai style lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.

Tidak pula kita kekurangan orang-orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama. Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang berunsur agama bagi memboleh rakyat lebih mempercayai mereka.

Tidak kurang juga program-program yang dirasmikan oleh orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Di samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.

*KEKURANGAN*
Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Kita sering mempamirkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’.

Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat ‘blessing’ dari orang-orang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti-pati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.
Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama index rasuah, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi.

*Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh degungan doa yang dibaca memuja dan memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.*

Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri ‘entah berentah’ yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata.

Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Namun kehebatan seorang penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh yang berkuasa kerana dia memegang tampok kuasa.


*KHIANAT*

Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat.


Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut:

“Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.


Betapa, *seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah*. Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?!

Maka *sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam*. Ini kerana *di Barat, samada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah*.

*Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai inti ataupun essence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.*

Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa, didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Maka Allah terlebih dahulu menyebut:(maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha melihat”.
(Surah al-Nisa: 58).

Selepas itu barulah diikuti dengan firmanNYA: (maksudnya)

“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya”
(Surah al-Nisa’ 59).

Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut:

“Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)

(Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

*Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini.*  Di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik.

Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.


*KESAN*

Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya?!

Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:

“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. *Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka*?”.

(Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

‘Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: ‘kenaikan harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’. Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.

Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. *Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan*. Tetapi *kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata.*
*Dalam konteks politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat.*

Selasa, 4 April 2017

PULAU PINANG MASIH UTUH EKONOMI, YANG MALANGNYA NAJIB MASIH MEMERINTAH

Saya mengambil maklum mengenai kenyataan Najib Razak yang dipaparkan dalam blog peribadi, menuduh bahawa pelabur luar lari dari Pulau Pinang. Beliau cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan pelaburan yang dibawanya masuk adalah bagus, malah memperlekeh pembangkang yang dituduh anti-pelaburan asing, anti-patriotik dan menganggap pelaburan asing sebagai cara menjual negara.

 Saya menyangkal tuduhan beliau terhadap Pulau Pinang melalui beberapa fakta:

 1. Mengikut laporan Malaysia Investment Development Agensi (MIDA) 2016, agensi di bawah Kerajaan Persekutuan ini telah membuktikan bahawa pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan. Sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah bahawa ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang.

 Pencapaian Pulau Pinang kini berada dalam kedudukan nombor empat mengikut nilai pelaburan masuk paling banyak pada tahun lepas. Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri-negeri yang diperintah oleh Umno BN seperti Kedah dan Melaka.

2. Dalam masa tempoh lima tahun, pencapaian sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Kasar Negera (KDNK) begitu memberangsangkan. Pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6% kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5% pada tahun 2010. Tambahan pula, Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015. Statistik ini diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan.

 Adalah suatu yang memalukan apabila seorang Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan tidak menilai statistik ini terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang teruk di bawah pentadbiran Lim Guan Eng. Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat? 

Tidakkah Najib tahu bahawa faktor tarikan pelabur asing adalah bergantung pada kedudukan ekonomi semasa, insentif pelaburan, potensi pulangan, tata kelola yang baik, bebas rasuah dan kestabilan politik?

 Najib menyangkal dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Umno BN cuba menjual negara. Najib menggunakan hujah syarikat-syarikat nasional juga terlibat dalam pelaburan di luar negara. Hakikatnya, Najib tidak faham maksud 'jual negara' yang diperkatakan oleh pembangkang. Berikut merupakan penjelasan sebenar:

 1. 'Jual negara' bermaksud apabila kerajaan terpaksa melaksanakan sebuah projek berkos tinggi yang bertujuan untuk membayar hutang sesebuah syarikat yang penuh dengan skandal penyelewengan. Kerajaan Umno BN merancang projek East Cost Railway Line (ECRL) dengan kos RM55 bilion untuk tujuan membayar hutang 1MDB seperti didakwa oleh Sarawak Report. Projek ini dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman kepada bank pembangunan China. Jika projek ini gagal membiayai kos, sudah tentu Kerajaan Persekutuan yang akan datang terpaksa menanggung kos.

2. Jual negara' bererti apabila kerajaan Najib menyembunyikan status sebenar tanah projek pembangunan Forest City. Beliau memberi jaminan bahawa tanah projek tersebut adalah 'leasehold' dan mempunyai had tempoh pajakan. Tetapi realitinya, kenyataan ini disangkal oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir apabila beliau sendiri melawat kawasan projek berkenaan dan melihat papan tanda yang memaparkan status 'freehold' atau pegangan bebas! Adakah Najib cuba sembunyikan hakikat bahawa sebahagian tanah di Johor akan dikuasai oleh pelabur asing buat selama-lamanya?

 Saya percaya bahawa terdapat lebih banyak lagi definisi yang boleh merujuk pada istilah 'jual negara', bersabit tindakan-tindakan Najib yang telah memberi imej negara kita semakin hari semakin teruk, apatah lagi ditambah dengan kes-kes penyelewengan, rasuah dan tatakelola yang teruk.

 Saya ingin mengulangi bahawa lawatan pelaburan Najib ke luar negara sama sekali tidak akan mampu meningkatkan 'profile' negara kita. Hal ini dibuktikan dengan nilai ringgit yang jatuh dan angka FDI juga masih rendah. Skandal 1MDB yang sedang berhadapan penyiasatan beberapa negara dunia menambah buruk imej negara gara-gara Najib.

 Amat malang Malaysia ini apabila Najib masih memerintah tanpa pedulikan suara rakyat. Amat malang apabila seorang Perdana Menteri sanggup memburukkan beberapa negeri dalam Persekutuan semata-mata memenuhi kemahuan nafsu politik peribadi beliau.

DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Penasihat Strategik kepada 
YAB Ketua Menteri Pulau Pinang 
( Setiausaha Agung KEADILAN)
sumber