Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan
kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Sa'd bin Abi Waqqas sebelum
Peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara.
Antara katanya:
"...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat
musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan
untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka,
persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama
dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut
kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketaqwaan) sudah
pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita."
(Dr ‘Ali
al-Salabi, ‘Umar bin
al-Khattab, ms 420,
Kaherah: Dar al-Tauzi' Wa al-Nasyr al-Islamiyyah).
Ucapan Umar sangat bermakna
dan menarik. Pengajaran untuk kita umat yang tewas pada hari ini. Namun saya
ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita ini.
Jika ‘Umar menyatakan:
"..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan
(peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka", realiti yang berlaku
dalam negara kita sebaliknya. Jumlah
umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti Islam
begitu banyak. Bahkan zakat berlebihan saban tahun -walaupun yang miskin terus
menderita, pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak.
Kita ada jabatan, badan,
yayasan, mahkamah, perlembagaan dan berbagai lagi yang berpihak kepada
kepentingan Islam. Namun mengapa
kita masih kelihatan bagaikan umat yang tewas. Tidakkah jika kita tidak dapat
menewaskan orang lain dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita berjaya
disebabkan faktor kekuatan lahiriah kita. Mengapa tidak sedemikian? Seorang yang berjalan kaki
akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan dengan arah yang betul. Namun seorang yang mempunyai
kenderaan canggih dan mewah tidak akan sampai jika hanya berada dalam
kenderaannya sambil membelek-belek kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke arah
destinasi yang betul. Begitulah
halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah kita ini
benar-benar digerakkan?.
IMEJ UMAT ISLAM
Aduhai malangnya,
sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama bukan Muslim hidup di
kalangan masyarakat Muslim semakin harmoni perasaan mereka dan semakin
menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya. Namun realiti yang berlaku, semakin
hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan prejudis makin berbuah antara mereka
dan kita. Di sini saya tidak ingin
membicarakan tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda mereka. Barangkali kita
yang gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan penghormatan.
Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada generasi mereka.Di
sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif
untuk mereka.
Jika kita ingin berkempen
agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dalam di sudut
pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur. Jalan untuk sampai kepada kehebatan
ekonomi itu juga bukannya singkat. Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan
kehebatan ajaran Islam yang membentuk peri laku mulia umatnya.Masih ramai
manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi kekayaan harta.
FEKAH DAKWAH
Malangnya, fekah dakwah
kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali. Ada
saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang
berkenaan. Tetapi pegawai agama itu memberitahunya: "Jika awak hendak
masuk Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat
dulu.". Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya
"waktu masuk Islam 8am sehingga 5pm". Semangat dakwah kita tidak kukuh.
Kemudian hairan orang tidak minat dengan Islam. Jika orang lain bekerja untuk agama
mereka tanpa mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah jika mereka
berjaya memenangi persaingan ini. Ramai orang bukan Islam
selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka. Mereka menyangka ajaran
Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa sebab. Pada hal Allah menyebut dalam Surah
al-Mumtahanah ayat 8-9 (maksudnya):
"Allah tidak melarang
kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang
yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari
kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku
adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat
orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari
kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan
(ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim."
FEKAH YANG DISEMPITKAN
Namun apa yang hendak
dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai orang Islam yang
mendapat bantuan kebajikan dari mereka; seperti ketika tsunami, yang sakit
kronik dan seumpamanya. Ada orang kita berulang
alik ke tempat ibadat mereka pun untuk mendapat bantuan rawatan percuma. Di
pihak kita pula, kurang memberi kepada mereka. Bahkan pegangan mazhab tempatan kita
begitu sempit sehingga mengharamkan sesetengah pemberian seperti daging korban
dan akikah kepada mereka sekalipun jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat
korban atau akikah, kita menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran
bukan Muslim kita kerana bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal. Padahal,
tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian. Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika
ditanya tentang hal ini menjawab:
"Ya, boleh untuk kita
memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang tidak memerangi Islam atau
tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan
kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk menjinakkan
hatinya." (11/424).
Namun disebabkan taksub
mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya, kita halang daging korban
beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan lesen, permit, projek dan
tanah berkeping-keping. Dalam
masalah menjawab salam juga kita sempit. Dulu telah saya terangkan, kita
haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik. Namun
ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun atau
mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.
PEMBERIAN SEDEKAH
Ramai yang susah hati
kerana pertubuhan agama-agama tertentu memberikan bantuan kepada orang-orang
Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan mempengaruhi orang Islam. Persoalannya,
mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitul Mal, zakat yang ‘berlebihan' dan
sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik Muslim dan bukan Muslim
mendekati agama ini. Susahnya,
ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam tidak dapat
pahala. Sedekah atau bantuan yang dapat pahala hanya untuk sesama Islam. Hal
ini tidak benar. Pada zaman Nabi
SAW kaum Muslimin juga pada awalnya merasa berat untuk memberikan bantuan harta
kepada selain dari kalangan mereka. Mereka
seakan merasakan pahala itu hanya diperolehi jika sedekah itu diberikan kepada
sesama akidah. Lalu Allah
menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya):
"Tidaklah engkau
diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat
petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah
jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut
peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan
Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah
mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang
kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya)
kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan."
Dengan turunnya ayat ini
bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada Muslim atau bukan
Muslim , orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala dari sisi Allah selagi
tujuannya mencari keredaan Allah. (lihat:
Ibn Kathir, Tafsir
al-Quran al-‘Azim, 2/476,
Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub). Bahkan dalam zakat, di
kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh diberikan kepada bukan
Muslim yang tidak memusuhi Islam. Dr.
Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat:
al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut : Muassasah al-Risalah).
Bahkan zakat boleh
diberikan kepada bukan Muslim atas peruntukan mualaf untuk menjinakkan hati
mereka kepada Islam. Sama ada
miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu boleh
mendekatkan hati mereka dengan Islam. Namun,
tafsiran mualaf kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai agenda
dakwah. Maka tidak hairan jika zakat kita ‘berlebih-lebihan' saban tahun,
sedangkan masalah umat terus bertambah.
MENGHORMATI JENAZAH
Dahulu, sesetengah orang
menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya kenderaan jenazah bukan Muslim.
Pada hal dalam hadis disebut (maksudnya):
"Sesungguhnya telah
lalu di hadapan Nabi SAW satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati).
Lalu diberitahu kepada baginda: 'Itu jenazah seorang Yahudi'. Baginda bersabda:
'Tidakkah ia juga jiwa (insan)?'"Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Nilai ketinggian akhlak ini
sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar mereka pandang tinggi kepada
nabi kita. Jangan cuba
dikaitkan agama ini dengan nilai-nilai keganasan.
MEMASUKI MASJID-MASJID
Masjid-masjid kita juga
sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi SAW Diizinkan bukan Muslim masuk
untuk mendengar kuliah atau ceramah agama, atau untuk mengambil bantuan
kewangan bagi yang kesusahan. Sepatutnya
masjid dibuka untuk bukan Muslim untuk mengenali Islam, hadir melihat amalan
orang Islam dan mendapat penerangan yang harmoni mengenai Islam. Inilah yang berlaku pada zaman Nabi
SAW. Para perwakilan yang Muslim dan bukan
Muslim dari serata ceruk rantau datang menemui Nabi SAW dalam masjid baginda. Namun kita ini, jika bukan Muslim
masuk ke masjid atau duduk melihat amalan Islam di masjid, kesempitan pemikiran
pun akan berperanan aktif. Banyak lagi jika hendak
dibicarakan di sini. Saya mencadangkan agar kita memasukkan dalam sukatan
pengajian agama kita; di masjid dan sekolah secara jelas tajuk fekah atau
akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim. Dengan harapan akan terpancar di
hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan