Isnin, 18 April 2016

BERAPA LAMA KAH LAGI....

Kestabilan kerajaan dalam menangani pelbagai isu yang melanda negara telah banyak memberi kesan terhadap kehidupan rakyat, para penguasa telah menjadi rakus akibat daripada pelbagai kemewahan hidup yang hanya godaan nafsu duniawi.


Ahad, 17 April 2016

KEKUATAN (DEDAK) ADA PADA KITA

Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Sa'd bin Abi Waqqas sebelum Peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara.

Antara katanya: "...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang hanyalah kerana maksiat musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka. Jika kita sama dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka memiliki kelebihan di sudut kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan kelebihan kita (ketaqwaan) sudah pasti kita tidak dapat menewaskan mereka dengan kekuatan kita." 

(Dr ‘Ali al-Salabi, ‘Umar bin al-Khattab, ms 420, Kaherah: Dar al-Tauzi' Wa al-Nasyr al-Islamiyyah).

Ucapan Umar sangat bermakna dan menarik. Pengajaran untuk kita umat yang tewas pada hari ini. Namun saya ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita ini. 
Jika ‘Umar menyatakan: "..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka", realiti yang berlaku dalam negara kita sebaliknya. Jumlah umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti Islam begitu banyak. Bahkan zakat berlebihan saban tahun -walaupun yang miskin terus menderita, pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak. 

Kita ada jabatan, badan, yayasan, mahkamah, perlembagaan dan berbagai lagi yang berpihak kepada kepentingan Islam.  Namun mengapa kita masih kelihatan bagaikan umat yang tewas. Tidakkah jika kita tidak dapat menewaskan orang lain dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita berjaya disebabkan faktor kekuatan lahiriah kita. Mengapa tidak sedemikian? Seorang yang berjalan kaki akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan dengan arah yang betul.  Namun seorang yang mempunyai kenderaan canggih dan mewah tidak akan sampai jika hanya berada dalam kenderaannya sambil membelek-belek kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke arah destinasi yang betul. Begitulah halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah kita ini benar-benar digerakkan?.

IMEJ UMAT ISLAM
Aduhai malangnya, sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama bukan Muslim hidup di kalangan masyarakat Muslim semakin harmoni perasaan mereka dan semakin menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya. Namun realiti yang berlaku, semakin hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan prejudis makin berbuah antara mereka dan kita. Di sini saya tidak ingin membicarakan tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda mereka. Barangkali kita yang gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan penghormatan. Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada generasi mereka.Di sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif untuk mereka. 

Jika kita ingin berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dalam di sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur.  Jalan untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu juga bukannya singkat. Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang membentuk peri laku mulia umatnya.Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi kekayaan harta.

FEKAH DAKWAH
Malangnya, fekah dakwah kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali.  Ada saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang berkenaan. Tetapi pegawai agama itu memberitahunya: "Jika awak hendak masuk Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu.". Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya "waktu masuk Islam 8am sehingga 5pm".  Semangat dakwah kita tidak kukuh. Kemudian hairan orang tidak minat dengan Islam.  Jika orang lain bekerja untuk agama mereka tanpa mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah jika mereka berjaya memenangi persaingan ini. Ramai orang bukan Islam selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka. Mereka menyangka ajaran Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa sebab.  Pada hal Allah menyebut dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 (maksudnya): 

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

FEKAH YANG DISEMPITKAN
Namun apa yang hendak dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai orang Islam yang mendapat bantuan kebajikan dari mereka; seperti ketika tsunami, yang sakit kronik dan seumpamanya.  Ada orang kita berulang alik ke tempat ibadat mereka pun untuk mendapat bantuan rawatan percuma. Di pihak kita pula, kurang memberi kepada mereka.  Bahkan pegangan mazhab tempatan kita begitu sempit sehingga mengharamkan sesetengah pemberian seperti daging korban dan akikah kepada mereka sekalipun jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat korban atau akikah, kita menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran bukan Muslim kita kerana bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal. Padahal, tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian.  Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab: 

"Ya, boleh untuk kita memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang tidak memerangi Islam atau tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan kepadanya disebabkan kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau untuk menjinakkan hatinya." (11/424). 

Namun disebabkan taksub mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya, kita halang daging korban beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan lesen, permit, projek dan tanah berkeping-keping.  Dalam masalah menjawab salam juga kita sempit. Dulu telah saya terangkan, kita haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik. Namun ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun atau mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.

PEMBERIAN SEDEKAH
Ramai yang susah hati kerana pertubuhan agama-agama tertentu memberikan bantuan kepada orang-orang Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan mempengaruhi orang Islam. Persoalannya, mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitul Mal, zakat yang ‘berlebihan' dan sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik Muslim dan bukan Muslim mendekati agama ini.  Susahnya, ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam tidak dapat pahala. Sedekah atau bantuan yang dapat pahala hanya untuk sesama Islam. Hal ini tidak benar.  Pada zaman Nabi SAW kaum Muslimin juga pada awalnya merasa berat untuk memberikan bantuan harta kepada selain dari kalangan mereka.  Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperolehi jika sedekah itu diberikan kepada sesama akidah.  Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya):

"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan."

Dengan turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada Muslim atau bukan Muslim , orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala dari sisi Allah selagi tujuannya mencari keredaan Allah.  (lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub). Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh diberikan kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam.  Dr. Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut: Muassasah al-Risalah). 

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan Muslim atas peruntukan mualaf untuk menjinakkan hati mereka kepada Islam.  Sama ada miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu boleh mendekatkan hati mereka dengan Islam.  Namun, tafsiran mualaf kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai agenda dakwah. Maka tidak hairan jika zakat kita ‘berlebih-lebihan' saban tahun, sedangkan masalah umat terus bertambah.

MENGHORMATI JENAZAH
Dahulu, sesetengah orang menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya kenderaan jenazah bukan Muslim. Pada hal dalam hadis disebut (maksudnya):

"Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAW satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: 'Itu jenazah seorang Yahudi'. Baginda bersabda: 'Tidakkah ia juga jiwa (insan)?'"Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Nilai ketinggian akhlak ini sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar mereka pandang tinggi kepada nabi kita. Jangan cuba dikaitkan agama ini dengan nilai-nilai keganasan.

MEMASUKI MASJID-MASJID
Masjid-masjid kita juga sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi SAW Diizinkan bukan Muslim masuk untuk mendengar kuliah atau ceramah agama, atau untuk mengambil bantuan kewangan bagi yang kesusahan.  Sepatutnya masjid dibuka untuk bukan Muslim untuk mengenali Islam, hadir melihat amalan orang Islam dan mendapat penerangan yang harmoni mengenai Islam.  Inilah yang berlaku pada zaman Nabi SAW. Para perwakilan yang Muslim dan bukan Muslim dari serata ceruk rantau datang menemui Nabi SAW dalam masjid baginda.  Namun kita ini, jika bukan Muslim masuk ke masjid atau duduk melihat amalan Islam di masjid, kesempitan pemikiran pun akan berperanan aktif. Banyak lagi jika hendak dibicarakan di sini. Saya mencadangkan agar kita memasukkan dalam sukatan pengajian agama kita; di masjid dan sekolah secara jelas tajuk fekah atau akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim.  Dengan harapan akan terpancar di hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.


Khamis, 14 April 2016

PERSEDIAAN MOBILISASI SEBUAH PERUBAHAN

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahankan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berduka cita (terhadap apa yang menimpa kamu) padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman"

Surah ali-Imran ayat 139

Sesungguhnya telah berlalu masa kejatuhan dan kebangkitan sesebuah kerajaan sama ada ia sebuah kerajaan yang baik dan ada yang zalim dan melampau. Di sana terdapat golongan para pengampu penguasa atau kerajaan yang terdiri daripada golongan ilmuan dan ulama. Bagaimana sebuah kerajaan yang baik dalam menguruskan pentadbiran melaksanakan amal maaruf nahi mungkar yang melibatkan dari semua peringkat masyarakat. Sama ada mereka berada di atas (kerajaan) dan begitu juga mereka yang berada di bawah (rakyat) semuanya akan berasa aman dan selamat.

Begitu juga hal-nya dengan sesebuah kerajaan atau pemerintahan yang zalim, di sana akan ada golongan pemerintah yang tamak di samping para pengampu terdiri dari golongan ulama yang sering membenarkan segala kezaliman pemerintah kepada rakyat. Maka sudah pasti terdapat suatu kumpulan yang akan menentang kezaliman pemerintah yang terdiri daripada para pengampu kerajaan. Oleh itu kita sebagai rakyat harus melaksakan satu gerakan perubahan bagi menjatuhkan golongan pemerintah yang zalim. Namun, ia memerlukan momentum dari seluruh peringkat masyarakat sama ada mereka petani, peruncit, pedagang malah kita sebagai rakyat biasa perlu bersama-sama dengan golongan yang melaksanakan perubahan agar kita semua akan berada dalam keadaan aman dan selamat. Islam meletakkan panduan perlaksanaan kenegaraan sebagai mana Sunnah Rasulullah saw bersama para sahabat di Madinah.

Betapa kita melihat Islam itu umpama sebuah golongan yang memahami mengikut fikiran mereka dan ada juga golongan atau kumpulan yang lain, menafsirkan secara berlainan dan akhirnya kita sebagai rakyat menjadi mangsa kerakusan pemerintah. Mereka mengambil sebahagian dari al-Quran dan kemudian berhujah perbezaan pendapat menjadikan para Imam Mazhab sebagai pegangan golongan dan kumpulan radikal ini. Mencemuh dengan pelbagai ungkapan kerana tidak bersetuju berkaitan urusan Fekah, Muamalat, Jenayah dalam Islam. Menjadikan mereka ini berpengatahuan dan memahami segala kandungan ajaran Islam, tetapi cenderung kepada menyokong dan membantu dengan menasihati pihak pimpinan kerajaan yang zalim. Sehingga, terdapat mereka yang menzalimi rakyat bawahan dengan mengatakan "harus taat kepada pemimpin Islam" walaupun melakukan kerosakan dan kemungkaran didunia ini.

Maka, sebagai rakyat bawahan (marhain), kita juga berkewajipan untuk memperbaiki segala kerosakan dan kemungkaran melalui pembohongan demi pembohongan oleh pihak kerajaan. Wajar kita semua bersatu tanpa mengira bangsa,. agama dan keturunan sebagai warga Malaysia bagi melaksanakan "Perjuangan Perobahan" demi kelangsungan hidup di "Tanah Tumpah Darahku". Islam mensyariatkan bahawa perlu ada sebuah golongan lain yang khusus berlawanan dengan hanya satu kumpulan atau golongan. Ini adalah kerana sehingga kepada syariat perperangan dalam Islam hanya menentang satu golongan tiada dua, tiga atau sehingga beratus-ratus golongan dalam sejarah peperangan Islam. Begitu juga hal nya dengan perdebatan dalam urusan kenegaraan serta sebuah kerajaan, pemimpin yang baik dan sudah pasti ada pimpinan yang jahat dan berlawanan dengan hanya satu golongan atau kumpulan.

Kita semua telah meletakkan Islam kepada beberapa golongan dan kumpulan, sehingga ada di kalangan pendakwah yang ikhlas dalam usaha untuk menyatukan "Aqidah" Islam telah dihalang dengan pelbagai ugutan dan sekatan. Para pendakwah ini sesungguhnya telah menemui melalui dakwah di pelbagai peringkat masyarakat sama ada mereka ini telah memeluk agama Islam dan juga terdapat di kalangan mereka ini yang belum memeluk Islam. Mereka ini, iaitulah para pendakwah telah meletakkan asas yang tinggi serta kukuh melalui al-Quran dan as-Sunnah untuk menjadi hujah sebagai kaedah berdakwah yang mengikuti segala syariat dan adab-adab dalam Islam. Para penentang Islam akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak menyatukan sama ada sebagai rakyat berbilang bangsa mahu pun mereka yang mukmin dari segi Aqidah Islami. Usaha-usaha ini berjalan terus bersama segala bentuk kezaliman dan kerosakan yang telah mereka lakukan, sehingga terdapat di kalangan sebuah golongan atau kumpulan yang berterus-terusan menyokong dan memberi kekuatan kepada pemerintah yang telah sedia berada dalam kezaliman dan kerosakan.


As-Syahid Syed Qutb menyatakan dalam bukunya "Manhaj Hidup Muslim" terbitan Dewan Pustaka Fajar, 1998 di halaman 190 bahawa:

"Kita perlu meningkatkan diri kita ke peringkat yang setara dengan Islam. kita perlu meningkatkan "IBADAH" kita semata-mata kerana Allah SWT. Sesungguhnya kita masih belum mengenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Kita perlu meningkatkan kesedaran kita terhadap keadaan sekitar dan meningkatkan kefahaman kita terhadap berbagai-bagai teknik dan taktik masa kini. Kita perlu meningkatkan pengetahuan kita tentang peradaban dan kebudayaan masa kini dan mempraktikkan peradaban dan kebudayaan itu dengan tujuan untuk menguji dan memilih.

Kita tidak akan dapat menentukan sesuatu yang patut kita ambil dan sesuatu yang patut kita tinggalkan, melainkan setelah kita dapat menguasainya dengan pengetahuan dan pengalaman. Dari pengetahuan dan pengalaman, kita akan mempunyai kuasa untuk membuat pilihan. Kita perlu meningkatkan pengetahuan kita tentang hakikat kehidupan manusia dan keperluannya yang hakiki yang senantiasa berubah-ubah. Kita tolak apa yang patut di tolak dari kebudayaan itu dan kita ambil apa yang patut kita ambil berdasarkan pengalaman, kita akan hidup dengan kebudayaan itu setaraf dengan pengalaman kita.

Ini adalah perjuangan yang pahit, perjuangan yang panjang tetapi merupakan perjuangan yang jelas, perjuangan yang tulen dan Allah ST bersama-sama kita. Allah SWT berkuasa untuk melaksanakan kuasa-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."




Ahad, 3 April 2016

DEDAHKAN "DEDAK".................

Bagi individu, setelah setahun perlaksanaan GST tiada sedikit pon manfaat kepada rakyat. Setiap hari duit kami di perah apabila kami berbelanja dan ia sebagai komitmen warga/pengundi  Malaysia tercinta.

Kepada perniaga, mereka umpama macai2 kpd kerajaan dgn mengutip bayaran GST daripada rakyat yg kemudiannya perlu di serahkan kedalam kantung kerajaan. Setiap bulan atau setiap 3 bulan, laporan bayaran wang kutipan GST perlu diserahkan kepada Kastam. Setelah sampai tempoh, semua bayaran GST yg diterima oleh peniaga perlu diserahkan ke kantung kerajaan.

Namun di sana masih terdapat mereka yang menyokong, membantu, memberi tongkat dan sehingga ade diantara mereka yang paling bodoh sebagai pemimpin menjadi Pemakan "DEDAK". Kezaliman kerajaan terhadap rakyat yg telah mengenakan cukai terhadap perbelanjaan rakyat, menurut sistem Islam cukai (zakat) hanya di kenakan terhadap pendapatan, dan harta atau wang simpanan.

Inilah perkara yg pasti dan adalah sunahtullah, apabila Ulama dan umarak (pemerintah) bergandingan dalam urusan pentadbiran sebuah kerajaan. Kezaliman umarak dilihat sebagai sesuatu yang baik oleh para ulama. Keborosan umarak dan kegoblokan ulama akan berterusan menyeksa rakyat dengan pelbagai undang@ dan sekatan.

Umarak akan menekan rakyat dgn berbagai undang2 yang zalim, penindasan kehidupan rakyat, penipuan demi pembohongan, janji-janji kosong pembangunan dan setelah itu para Ulama ini akan mendendangkan kebaikan demi kebaikan terhadap segala aturan zalim tadi. Mereka turut menyanyi lagu-lagu mazhab ini dan itu dengan tujuan umat Islam jangan bersatu atas nama akidah tetapi umat Islam berpecah kepada 70 golongan fekah yang sesat dan menyesatkan.

Akhirnya, para Ulama ini akan menyalak-menyalak bukan sahaja kepada rakyat bawahan, ahli kumpulan dan rakan serta lawan bahawa mereka semua salah, berdosa, murtad, haram dan sebagainya. Seperti kononnya mereka ini ulama perwaris nabi, mendapat bimbingan dari tahajjud dan mimpi. Betapa para sahabat Rasulullah saw yang telah dijamin syurga berselisihan pendapat, berbalah sehingga akhirnya berperang sesama sendiri. Ulama ini juga turut menyalak-menyalak kepada para umara, konon nya memberi nasihat dan mencadangkan kebaikan Islam untuk mereka ini mendapat bekalan "DEDAK" bagi meneruskan hidup kemewahan dan keseronokan dunia.

Bertanyalah kepada para ulama bukankah kita ini berada di akhir zaman?... Sudah pasti mereka akan membenarkan pertanyaan itu dan ketahuilah bahawa diakhir zaman ini peristiwa gandingan antara umara dan ulama ini telah berlaku di dalam sejarah Islam dahulu lagi.

Maka, jika para umara melakukan sesuatu kezaliman dan para ulama umpama kambing2 yang menjilat garam di kandang mereka membenarkan pembohongan umara maka tunggulah saat kehancuran.

Ulama jenis ini bila kita tegur, kita yang bersalah kita yang akan ditentukan dosa itu dan ini. Para ulama akan menjatuhkankan laknat Allah swt kepada kita kerana membenci dan mengecam umara yang telah memberi DEDAK kepada mereka.

Ketahuilah oleh semua: "mereka ini umpama anjing, jika kamu menghalau tetap saja anjing ini menjelirkan lidah, begitu juga jika kamu memanggil anjing ini, ia akan tetap menjelirkan lidah."