Khamis, 22 Mei 2014

Sikap Kita Terhadap Undang-Undang Syariah Di Malaysia

Islam adalah suatu sistem kehidupan manusia di muka bumi ini. Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud) adalah sebahagian dari perjalanan sistem Islam, ia mencakupi pelbagai perkara urusan sosial, ekonomi, kenegaraan dan psikologi. Perlaksanaan hukuman Hudud ini bukan bertujuan untuk menzalimi manusia dengan mudah memotong tangan pencuri dan merejam penzina. Undang-undang Syariat ini adalah wajib kepada setiap yang beriman dan mengaku Muslim. Belum tempoh perlaksanaan undang-undang ini para pemimpin kerajaan yang bukan pencuri telah menunjukkan sikap takut, maka apatah lagi kepada mereka yang sebenarnya memang pencuri.

Siapakah kita ini untuk tidak menerima peraturan kehidupan di dunia ini oleh Allah swt, Maha Pencipta. Allah swt menciptakan dunia yakni langit dan bumi dan Allah swt juga yang menjadikan manusia, haiwan tumbuh-tumbuhan di muka bumi. Maka kita sebagai pemilik terhadap ciptaan atau rekaan, berhak menentukan peraturan pemakaian barang atau produk tersebut.

Umpama produk kereta myvi, peraturannya adalah mengisi minyak petrol untuk menghidupkan kenderaan. Tetapi kita mahu meletakkan air, kerana minyak petrol mahal tetapi air murah. Maka sudah pasti kereta tersebut akan rosak. Begitulah juga keadaannya dengan hukum dan peraturan yang terkandung di dalam al-Quran, yakni kanun jenayah Syariah serta menutup aurat bagi lelaki dan perempuan.

Jangan sekali-kali kita turut terlibat dalam kesyirikan dan kesesatan kerana akur dan tidak melaksanakan sistem Islam seluruhnya sebagaimana yang telah disampaikan oleh Baginda Nabi Muhammad saw.

Malaysia pada awal pembentukan negara telah meletakkan asas Islam adalah agama dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Malah turut meletakkan Melayu adalah bangsa yang beragama Islam, malangnya pada awal kemerdekaan para pemimpin negara adalah mereka yang cenderung kepada barat.Namun terdapat juga negarawan negara yang memperjuangkan bahawa Tanah Melayu perlu melaksanakan Islam dalam pemerintahan dan kerajaan. Perjuangan ini masih dan tetap diteruskan sehingga pembentukan Malaysia, dan kini ia menjadi antara perkara yang terus diperjuangkan dalam politik masa kini.

Sungguhpun demikian, rakyat Malaysia bukan sahaja yang non-Muslim menolak perlaksanaan syariat dalam negara ini. Ia juga melibatkan bukan sahaja rakyat biasa malah para pemimpin negara yang beragama Islam turut memberi pelbagai alasan untuk tidak melaksanakan Syariat Islam sepenuhnya. Di dalam Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan bangsa Melayu mempunyai hak untuk melaksanakan segala tuntutan mereka. Malah agama dan bangsa lain juga turut boleh melaksanakan hak mereka untuk menjalankan apa-apa keperluan agama dan bangsa mereka. Tetapi kita sebagai bangsa Melayu dan beragama Islam yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak dapat melaksanakan sepenuhnya keimanan kita semua terhadap sistem Islam yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Al-Quran dan as-Sunnah itu bukan sekadar melibatkan urusan solat, puasa, perkahwinan atau harta pusaka. Ia juga meliputi undang-undang dan kenegaraan dalam pentadbiran sebuah kerajaan dan pentadbiran urusan rakyatnya yang meliputi semua bangsa dan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan