Jumaat, 7 April 2017

BUKAN KURANG JUBAH, TAPI KURANG AMANAH!

Oleh: Dato' Mohd Asri Zainal Abidin

Negara-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Tidak pula kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Tidak juga kekurangan penceramah yang pelbagai style lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.

Tidak pula kita kekurangan orang-orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama. Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang berunsur agama bagi memboleh rakyat lebih mempercayai mereka.

Tidak kurang juga program-program yang dirasmikan oleh orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Di samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.

*KEKURANGAN*
Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Kita sering mempamirkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’.

Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat ‘blessing’ dari orang-orang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti-pati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.
Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama index rasuah, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi.

*Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh degungan doa yang dibaca memuja dan memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.*

Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri ‘entah berentah’ yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata.

Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Namun kehebatan seorang penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh yang berkuasa kerana dia memegang tampok kuasa.


*KHIANAT*

Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat.


Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut:

“Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.


Betapa, *seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah*. Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?!

Maka *sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam*. Ini kerana *di Barat, samada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah*.

*Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai inti ataupun essence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.*

Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa, didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Maka Allah terlebih dahulu menyebut:(maksudnya)

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha melihat”.
(Surah al-Nisa: 58).

Selepas itu barulah diikuti dengan firmanNYA: (maksudnya)

“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya”
(Surah al-Nisa’ 59).

Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut:

“Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)

(Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

*Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini.*  Di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik.

Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.


*KESAN*

Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya?!

Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:

“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. *Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka*?”.

(Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

‘Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: ‘kenaikan harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’. Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.

Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. *Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan*. Tetapi *kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata.*
*Dalam konteks politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat.*

Selasa, 4 April 2017

PULAU PINANG MASIH UTUH EKONOMI, YANG MALANGNYA NAJIB MASIH MEMERINTAH

Saya mengambil maklum mengenai kenyataan Najib Razak yang dipaparkan dalam blog peribadi, menuduh bahawa pelabur luar lari dari Pulau Pinang. Beliau cuba mempertahankan dirinya dengan mengatakan pelaburan yang dibawanya masuk adalah bagus, malah memperlekeh pembangkang yang dituduh anti-pelaburan asing, anti-patriotik dan menganggap pelaburan asing sebagai cara menjual negara.

 Saya menyangkal tuduhan beliau terhadap Pulau Pinang melalui beberapa fakta:

 1. Mengikut laporan Malaysia Investment Development Agensi (MIDA) 2016, agensi di bawah Kerajaan Persekutuan ini telah membuktikan bahawa pencapaian ekonomi Pulau Pinang begitu memberangsangkan. Sebanyak 106 pelaburan baru dibawa masuk dengan nilai tambah sebanyak RM4.29 bilion. 71 peratus daripada nilai ini adalah pelaburan asing. Kenyataan ini bercanggah bahawa ramai pelabur luar lari dari Pulau Pinang.

 Pencapaian Pulau Pinang kini berada dalam kedudukan nombor empat mengikut nilai pelaburan masuk paling banyak pada tahun lepas. Dengan keluasan yang kecil, prestasi Pulau Pinang lebih mapan dan kompetitif berbanding dengan sebahagian besar negeri-negeri yang diperintah oleh Umno BN seperti Kedah dan Melaka.

2. Dalam masa tempoh lima tahun, pencapaian sumbangan Pulau Pinang terhadap Keluaran Dalam Kasar Negera (KDNK) begitu memberangsangkan. Pada tahun 2015, Pulau Pinang menyumbang 6.6% kepada KDNK, berbanding sekitar 5.5% pada tahun 2010. Tambahan pula, Pulau Pinang menyumbang 12.8 peratus kepada sektor pembuatan negara pada tahun 2015. Statistik ini diiktiraf oleh Jabatan Perangkaan Negara yang beroperasi di bawah Kerajaan Persekutuan.

 Adalah suatu yang memalukan apabila seorang Perdana Menteri dan merangkap Menteri Kewangan tidak menilai statistik ini terlebih dahulu sebelum menuduh ekonomi Pulau Pinang teruk di bawah pentadbiran Lim Guan Eng. Jika Najib tuduh pelabur luar lari meninggalkan Pulau Pinang, mengapakah ekonomi negeri ini semakin berkembang pesat? 

Tidakkah Najib tahu bahawa faktor tarikan pelabur asing adalah bergantung pada kedudukan ekonomi semasa, insentif pelaburan, potensi pulangan, tata kelola yang baik, bebas rasuah dan kestabilan politik?

 Najib menyangkal dakwaan pembangkang bahawa Kerajaan Umno BN cuba menjual negara. Najib menggunakan hujah syarikat-syarikat nasional juga terlibat dalam pelaburan di luar negara. Hakikatnya, Najib tidak faham maksud 'jual negara' yang diperkatakan oleh pembangkang. Berikut merupakan penjelasan sebenar:

 1. 'Jual negara' bermaksud apabila kerajaan terpaksa melaksanakan sebuah projek berkos tinggi yang bertujuan untuk membayar hutang sesebuah syarikat yang penuh dengan skandal penyelewengan. Kerajaan Umno BN merancang projek East Cost Railway Line (ECRL) dengan kos RM55 bilion untuk tujuan membayar hutang 1MDB seperti didakwa oleh Sarawak Report. Projek ini dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman kepada bank pembangunan China. Jika projek ini gagal membiayai kos, sudah tentu Kerajaan Persekutuan yang akan datang terpaksa menanggung kos.

2. Jual negara' bererti apabila kerajaan Najib menyembunyikan status sebenar tanah projek pembangunan Forest City. Beliau memberi jaminan bahawa tanah projek tersebut adalah 'leasehold' dan mempunyai had tempoh pajakan. Tetapi realitinya, kenyataan ini disangkal oleh Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir apabila beliau sendiri melawat kawasan projek berkenaan dan melihat papan tanda yang memaparkan status 'freehold' atau pegangan bebas! Adakah Najib cuba sembunyikan hakikat bahawa sebahagian tanah di Johor akan dikuasai oleh pelabur asing buat selama-lamanya?

 Saya percaya bahawa terdapat lebih banyak lagi definisi yang boleh merujuk pada istilah 'jual negara', bersabit tindakan-tindakan Najib yang telah memberi imej negara kita semakin hari semakin teruk, apatah lagi ditambah dengan kes-kes penyelewengan, rasuah dan tatakelola yang teruk.

 Saya ingin mengulangi bahawa lawatan pelaburan Najib ke luar negara sama sekali tidak akan mampu meningkatkan 'profile' negara kita. Hal ini dibuktikan dengan nilai ringgit yang jatuh dan angka FDI juga masih rendah. Skandal 1MDB yang sedang berhadapan penyiasatan beberapa negara dunia menambah buruk imej negara gara-gara Najib.

 Amat malang Malaysia ini apabila Najib masih memerintah tanpa pedulikan suara rakyat. Amat malang apabila seorang Perdana Menteri sanggup memburukkan beberapa negeri dalam Persekutuan semata-mata memenuhi kemahuan nafsu politik peribadi beliau.

DATO' SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Penasihat Strategik kepada 
YAB Ketua Menteri Pulau Pinang 
( Setiausaha Agung KEADILAN)
sumber