Jumaat, 14 Februari 2014

SIKAP ATAU HAKIKAT MELAYU ITU

Sikap Melayu ditempat kerja yang menyebabkan bangsa terus melayu. Bangsa lain mengembang dengan berbagai potensi diri, multi tasking dan suka membantu rakan sekerja. Bekerja sebagai sebuah pasukan bagi mencapai objektif tugas dan matlamat organisasi. Berapa ramai Melayu yang mampu untuk bersama-sama dalam kumpulan yang terdiri dari lain-lain bangsa. Ia belum lagi bekerjasama dengan bangsa asing luar negara yang meliputi berbagai kerenah birokrasi negara tersebut.

Hakikatnya aku juga Melayu, tetapi tidak boleh kalau kerja dan rutin harian setahun yang sama tanpa mempelajari sesuatu yang baru atau untuk meningkatkan potensi diri. Melaksanakan perkara yang remeh mahupun yang sukar, bertanya jika ada keperluan lain yang perlu di lakukan jika ada kelapangan atau tugas hari tersebut telah disiapkan. Perkara ini telah aku alami suatu ketika dahulu, jabatan kewangan yang terdiri daripada 7 orang pekerja berbangsa Cina dan hanya aku seorang yang Melayu. Hanya dalam masa 3 tahun aku telah dinaikkan pangkat dari kerani akaun kepada pembantu akaun dan hingga sebagai penyelia akaun. Sesuatu yang aku perolehi dari kerjasama dan toleransi bersama mereka yang pada awalnya kedekut ilmu namun aku berjaya mencungkil mereka untuk memajukan diriku.

Sehingga suatu ketika aku berjaya membuat persepsi bahawa, jika sebuah majikan mengambil seorang pekerja baru. Maka pihak syarikat atau majikan telah pasti menyediakan job scope (senarai tugas) bagi pekerja tersebut jika diambil bekerja. Bahkan senarai tugas tersebut mungkin melibatkan 10 tugas atau bidang kerja yang perlu dilaksanakan oleh seorang pekerja itu. Nah! minggu pertama majikan akan memberi 3 tugas untuk diselesaikan dalam masa 2 minggu, namun selepas dari tempoh itu pekerja tersebut masih belum menyiapkan tugasan. Maka bagaimana hendak diberi lagi 7 tugas yang perlu diselesaikan oleh seorang pekerja jika 3 perkara tidak mampu untuk dilaksanakan dalam tempoh yang diberikan.Jika anda melayu, maka bagi kita 3 tugas itu sudah mencabar dan tidak perlu kepada tambahan tugas, cukup sekadar kemampuan kita. Sehingga kita bosan dan berhenti kerja hanya 3 sahaja tugasan yang kita berjaya lakukan tanpa mencabar diri untuk melaksanakan kerja-kerja yang mampu meningkatkan potensi diri.

Jika kita berjaya melaksanakan tugas dalam tempoh yang ditetapkan, maka majikan melihat kita berpotensi untuk menyiapkan 10 tugas yang ditetapkan oleh majikan dan syarikat. Sudah pasti jika 10 tugasan telah berjaya dilaksanakan, imbuhan kenaikan gaji akan diberikan kerana kita telah mematuhi syarat untuk kenaikan gaji. Apabila sudah terlalu cemerlang sehinggakan 10 tugas yang di berikan pada awal pengesahan tugas berjaya di siapkan kurang dari masa yang ditetapkan. Maka pekerja tersebut sudah mampu untuk melakukan kerja-kerja yang lebih tinggi dan mencabar. Sudah pasti majikan akan menaikkan pangkat kita kerana sudah mampu dan berkebolehan melaksanakan tugas yang lebih mencabar dengan bayaran yang lebih tinggi.

Namun inilah yang terjadi, tunggu masa habis kerja cukup bulan dapat gaji. Kerja sering menyalahkan orang lain, menindas dan mengampu demi mengekalkan pendapatan menyara hidup. Maka kita terus menyalahkan bangsa melayu susah hendak maju dan menerima kemajuan. Adakah kita sedari doktrin yang diletakkan pada nama bangsa itu sendiri "MELAYU". Dengan kata imbuhan "me" pada kata dasar 'layu', orang lain mengembang, meningkat dan menaik. Maka sampai kiamatkah kita tidak maju.


Dengan sebab itu Islam sebagai wadah dan wasilah untuk meningkatkan potensi dan peribadi. Islam telah di peralatkan oleh melayu agar bangsa ini tidak bangkit dan maju. Kerana dari dilahirkan kita diterapkan dengan perkataan bangsa kita adalah melayu, oleh itu kita tidak perlu berbuat apa kerana kita melayu. Kita dengki jika orang lain maju, kita salahkan mereka mengapa mereka kaya. Kerana kita melayu, orang lain meningkat, mengembang dan menaik.